14 pelajar maut, bumbung pusat tuisyen runtuh

14 pelajar maut, bumbung pusat tuisyen runtuh


Karachi: Sekurang-kurangnya 14 pelajar maut manakala beberapa yang lain cedera selepas bumbung sebuah pusat tuisyen swasta runtuh di bandar Lahore, timur laut Pakistan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Ketika kejadian, antara 35 hingga 40 pelajar berada di pusat tuisyen di Kahna, sebuah kawasan pinggir bandar berpendapatan rendah di Lahore.

Menteri Kesihatan Wilayah Punjab, Khawaja Imran Nazir berkata lebih sedozen pelajar berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan, manakala lima lagi sedang menerima rawatan di hospital.

Jurucakap Hospital Kahna mengesahkan bahawa 19 mangsa, kebanyakannya pelajar, dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan daripada jumlah itu, 14 disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang maut berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Seorang guru wanita berusia 30 tahun turut cedera.

Pihak berkuasa penyelamat percaya sekurang-kurangnya tujuh pelajar masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

Rakaman yang disiarkan beberapa stesen penyiar tempatan menunjukkan anggota penyelamat menggunakan jentera ringan dalam operasi mencari dan menyelamat.

Polis telah menahan dua individu, termasuk pemilik pusat tuisyen berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top