Bangkok: Pasukan penyelamat mengesan tanda kehidupan (vital) 15 individu yang terperangkap dalam bangunan pencakar langit menempatkan Pejabat Audit Negara yang runtuh di Chatuchak, pada Sabtu.
Ia meningkatkan harapan pasukan penyelamat akan dapat menyelamatkan mereka dalam tempoh 72 jam.
Bangkokpost melaporkan, jumlah kematian akibat runtuhan bangunan itu adalah sembilan orang, sementara 78 lagi masih hilang dan identiti mereka belum disahkan, kata Pejabat Polis Metropolitan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Bangkok, Suriyan Rawiwan, berkata pasukan penyelamat mengesan tanda kehidupan 15 orang yang terperangkap di dalam bangunan 30 tingkat yang masih dalam pembinaan ketika ia runtuh.
Katanya, jentera berat digunakan untuk membersihkan runtuhan dan membawa pasukan penyelamat ke mangsa.
“Tempoh penyelamatan ditetapkan pada 72 jam kerana mangsa mungkin kelaparan dan mengalami dehidrasi.
“Mangsa berisiko mengalami kejutan dan kematian jika penyelamatan mengambil masa lebih lama,” katanya.
Jabatan itu mensasarkan untuk menjalankan operasi penyelamatan dalam tempoh 48 jam.
Tanda kehidupan turut dikesan untuk individu yang terperangkap dalam kumpulan tiga hingga tujuh orang di bawah runtuhan.
“Bekalan air dan makanan sampai ke kawasan di mana tanda kehidupan dikesan kerana kedalamannya sekitar tiga meter,” kata Suriyan.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, yang melawat tapak runtuhan pada pagi Sabtu berkata, kren akan digunakan untuk mengangkat runtuhan dan konkrit dari tapak berkenaan.
Bangunan pencakar langit yang terletak di kawasan di Jalan Kamphaeng Phet di daerah Chatuchak runtuh selepas gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada Jumaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd