155 rakyat Palestin maut di Gaza dalam tempoh 24 jam, biarpun gencatan senjata diumumkan

155 rakyat Palestin maut di Gaza dalam tempoh 24 jam, biarpun gencatan senjata diumumkan


Gaza: Mayat 155 rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel dibawa ke hospital di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lepas, termasuk 135 mayat yang ditemukan di bawah runtuhan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) memetik sumber perubatan selepas tengah malam Jumaat.

Menurut sumber itu, 19 rakyat Palestin maut dalam serangan udara berterusan Israel di seluruh Gaza walaupun perjanjian gencatan senjata telah diumumkan, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan terdahulu.

Antara insiden terbaharu, 16 orang terbunuh apabila pesawat perang Israel mengebom rumah milik keluarga Ghabboun di selatan Bandar Gaza. Dua lagi terbunuh dalam serangan udara di selatan Khan Younis.

Hospital-hospital di seluruh Gaza menerima sejumlah besar mangsa: 43 mayat dihantar ke Hospital Al-Shifa, 60 ke Hospital Al-Ahli Baptist di Bandar Gaza, empat ke Hospital Al-Awda di Nuseirat, 16 ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah dan 32 ke Hospital Nasser di Khan Younis.

Lewat Khamis malam, Kerajaan Israel secara rasmi meluluskan perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menandakan permulaan fasa pertama pelan damai yang lebih menyeluruh. Perjanjian itu merangkumi penghentian semua serangan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, penyampaian bantuan kemanusiaan serta pelaksanaan pertukaran tahanan.

Bagaimanapun, serangan berterusan ke atas rakyat Palestin mencetuskan keraguan terhadap komitmen Israel terhadap gencatan senjata itu.

Sejak Oktober 2023, lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh dan kira-kira 170,000 cedera -kebanyakannya kanak-kanak dan wanita – akibat serangan dua tahun Israel di Semenanjung Gaza.

Kemusnahan besar termasuk pengeboman rumah kediaman dan infrastruktur turut menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top