nurul.hidayah@hmetro.com.my
Klang: Selepas lebih 16 tahun menyimpan hasrat bergelar Muslim, seorang tukang cuci kereta akhirnya memeluk Islam bersama isteri dan dua anak mereka pada Februari lalu.
Menurut Nazir Abdullah, 39, dia mula menyimpan hasrat untuk memeluk Islam ketika awal perkahwinannya dengan isteri, Nadia Devadas, 42, pada 2009.
“Hasrat itu mula timbul apabila saya banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu dan tertarik dengan amalan dilakukan mereka termasuk membantu orang susah dan anak yatim selain tidak melakukan perkara haram.
“Apabila sudah berkahwin, isteri juga ada memaklumkan hasrat sama (mahu memeluk Islam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana di Masjid Jamek Ar Rahimiah, di sini, Sabtu lalu.
Nazir berkata, mereka mengambil masa lebih 16 tahun untuk memeluk Islamsa kerana mahu mendapat restu daripada ibu bapa isterinya yang sebelum ini menentang keputusan berkenaan.
“Saya anak yatim, namun isteri saya masih ada ibu bapa. Untuk buat keputusan ini, kami mesti dapat restu daripada mereka (ibu bapa mentuanya).
“Apabila mereka bersetuju, saya dan isteri terus ke tempat zakat untuk memeluk Islam tetapi kami diminta datang ke masjid ini.
“Selepas selesai semua proses berkaitan, saya dan isteri bersama dua anak masing-masing berusia 16 dan tiga tahun mengucap dua kalimah syahadah di masjid berkenaan pada 14 Februari lalu,” katanya.
Menceritakan mengenai pengalamannya berpuasa, Nazir berkata, ia adalah sesuatu yang baharu dalam hidupnya.
“Mula-mula berpuasa tempoh hari, memang ada rasa tak larat untuk bekerja. Namun selepas beberapa hari kemudian, badan saya terbiasa dengan puasa.
“Pada Ramadan kali ini, hanya saya dan anak sulung berpuasa memandangkan isteri masih menyusu badan anak bongsu kami,” katanya yang menetap di Sentosa, di sini.
Dari segi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri buat julung kalinya, Nazir berkata, ia dibuat secara sederhana sahaja.
“Hari Raya (Aidilfitri) kali ini hanya akan disambut dalam keluarga kecil kami sahaja. Meskipun begitu, kami rasa teruja untuk menyambutnya nanti.
“Malah, isteri juga sudah membuat sedikit persiapan dengan membeli keperluan kami sekeluarga termasuk membuat tempahan untuk ketupat serta baju raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd