am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Hidup berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak Imigresen. Itu tindakan dilakukan seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Bangladesh yang tinggal di negara ini tanpa dokumen selama 18 tahun.
Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, bagaimanpun, lelaki berusia 37 tahun itu diberkas penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dalam satu serbuan di rumah flat di Kampung Nisan Empat, di sini, pada 25 Oktober lalu.
Katanya, lelaki Bangladesh itu menyelinap masuk dan tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen sah disyaki ketika berusia 19 tahun.
“Lelaki itu antara 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk 11 warga Indonesia, Bangladesh (6), Myanmar (3) dan Pakistan (4) dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Difahamkan, lelaki Bangladesh yang dikenakan hukuman satu sebatan dan penjara lapan bulan itu sering berpindah randah bagi mengelakkan ditahan Imigresen.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, seramai 13 Pati diberkas dalam Ops Sapu, Belanja dan Selera di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus, Selasa lalu.
Katanya, operasi selama tujuh jam bermula jam 12 tengah hari itu menggempur lapan premis yang menjadi tumpuan warga asing.
“Seramai 62 warga asing ditahan serta diperiksa dan 13 termasuk tujuh lelaki warga Bangladesh dan enam lelaki Myanmar berusia antara 19 dan 45 tahun diberkas.
“Seramai 13 warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahguna pas dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd