STADIUM Darul Aman kembali bergema dengan sorakan dan nyanyian semangat apabila lebih 18,000 penyokong setia membanjiri gelanggang keramat itu bagi menyaksikan perlawanan penuh nostalgia antara legenda bola sepak Kedah era ‘Double Treble’ dan barisan bekas pemain kebangsaan dalam aksi CT Global Legend Cup 2025.
Perlawanan yang mempertemukan skuad Ex Double Treble Kedah dan Ex Malaysia pada malam Jumaat bukan sekadar pertarungan dua pasukan legenda, malah menjadi medan mengimbau detik-detik kegemilangan Hijau Kuning yang pernah menggegarkan arena bola sepak tanah air.
Lebih menyentuh hati, suasana di stadium turut diselubungi rasa hiba apabila seluruh penyokong dan pemain berdiri memberi penghormatan kepada bekas jurulatih tersohor Kedah, Allahyarham Azraai Khor Abdullah sebelum sepak mula.
Allahyarham antara individu penting yang berjaya membawa pasukan itu mencipta sejarah merangkul kejuaraan Double Treble pada 2007 dan 2008 selain tokoh pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.
“Momen pilu menyelubungi Stadium Darul Aman ketika montaj tribute buat Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah ditayangkan. Terlalu banyak kenangan, terlalu besar jasamu.
“Terima kasih ‘coach’ atas setiap kenangan, semangat dan kasih yang kau tinggalkan. Kau tetap legenda kami. Tiada galang ganti,” tulis Arena HijauKuning, sebuah portal bola sepak di negeri Kedah.
Perlawanan berkenaan menyaksikan kehadiran semula bintang-bintang ternama seperti Marlon Alex James, Cornelius Huggins dan Nelson San Martin yang pernah menjadi nadi utama kejayaan Kedah suatu ketika dahulu.
Mereka bergandingan semula bersama barisan pemain tempatan seperti Baddrol Bakhtiar, Akmal Rizal, Khyril Muhymeen dan Victor Andrag yang dikendalikan oleh Radhi Mat Din yang kini merupakan Exco Sukan Kedah.
Pasukan Ex Malaysia pula dikendalikan oleh bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagopal dan dibarisi nama-nama besar seperti Amri Yahya, Zaquan Adha, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli dan Khalid Jamlus.
Aksi di atas padang tidak mengecewakan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan dan Mahalli membuka tirai jaringan buat Ex Malaysia sebelum Marlon menyamakan kedudukan.
Nelson kemudian meletakkan Ex Double Treble di hadapan, namun Amri memastikan kedudukan kembali seimbang 2-2.
Perlawanan akhirnya ditentukan menerusi sepakan penalti yang memihak kepada Ex Double Treble sekali gus menobatkan mereka sebagai juara sulung CT Global Legend Cup 2025.
Ringkasan AI
- Stadium Darul Aman menjadi saksi pertarungan nostalgia antara legenda bola sepak Kedah era ‘Double Treble’ dan bekas pemain kebangsaan dalam CT Global Legend Cup 2025
- Penyokong dan pemain memberi penghormatan kepada Allahyarham Azraai Khor Abdullah, bekas jurulatih ternama Kedah, sebelum perlawanan bermula
- Bintang-bintang seperti Marlon Alex James, Cornelius Huggins, dan Nelson San Martin kembali beraksi bersama legenda Kedah
- Pasukan Ex Malaysia dikendalikan oleh Datuk K. Rajagopal dan dihiasi nama besar seperti Amri Yahya dan Safiq Rahim
- Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan Ex Double Treble menerusi sepakan penalti, menjadikan mereka juara CT Global Legend Cup 2025