PUTRAJAYA: Lawatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) ke Arab Saudi pada November 2015 bagi mengesahkan RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma telah bertukar menjadi sesi ‘makan-makan’ sebelum pulang ke Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai penyiasat asal kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM di Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA), Mohd. Nasharudin Amir, 53.
Pada perbicaraan sebelum ini, Pegawai Kanan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Fikri Ab. Rahim memberitahu mahkamah, rombongan SPRM dan AGC turut menerima layanan sebagai tetamu Arab Saudi, ditempatkan di hotel sangat mewah dan berpeluang menunaikan umrah dengan segala kelengkapan disediakan oleh negara itu.
Pada prosiding semalam, Mohd. Nasharudin memberitahu, berdasarkan prosiding rakaman percakapan yang dilakukan, dia mengakui tidak berpuas hati bahawa surat derma Arab yang diterima oleh Najib adalah tulen.
Saksi pembelaan ke-10 itu turut memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa beliau tidak berpuas hati individu yang ditemui pada November 2015, ialah Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (Putera Saud).
Dia juga tidak berpuas hati bahawa wang berjumlah RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri itu adalah derma yang datangnya daripada Putera Saud.
Selain itu, saksi itu turut bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika disoal balas bahawa lawatan ke Arab Saudi oleh SPRM dan AGC sebenarnya adalah untuk kerja-kerja ‘cut and paste’ (potong dan tampal).
Mohd. Nasharudin merupakan antara lima individu daripada SPRM dan AGC yang pergi ke Arab Saudi antara 27 hingga 29 November 2015 untuk menemu ramah Putera Saud, individu yang dikatakan menandatangani surat derma Arab Saudi kepada Najib.
Selain Fikri, turut serta dalam rombongan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki; pegawai perakam, (Datuk) Mohd. Hafaz Nazar (kini Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) serta Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili AGC.
Mohd. Nasharudin adalah pegawai penyiasat asal penyiasatan kes penyelewengan dana itu yang bermula pada 2015, sebelum digantikan dengan saksi pendakwaan ke-49, Pegawai Penyiasat SPRM, Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin pada 14 Mei 2018.
Ahmad Akram: Sebagai pegawai penyiasat, awak tidak berpuas hati dengan rakaman percakapan untuk mengatakan bahawa surat-surat derma itu adalah sahih.
Mohd. Nasharudin: Ya.
Ahmad Akram: Sebagai pegawai penyiasat, awak tidak berpuas hati bahawa duit yang masuk ke dalam akaun Datuk Seri Najib datangnya daripada individu (Putera Saud) yang awak rakam percakapannya?
Mohd. Nasharudin: Ya.
Ahmad Akram: Setuju bahawa daripada mula sehingga habis lawatan, ia telah dirancang, awak cuma ke sana untuk lengkapkan cerita, tak perlu tanya apa-apa, pergi, makan dan balik.
Mohd. Nasharudin: Ya.
Terdahulu, Mohd. Nasharudin memberitahu, ketika sampai ke ‘rumah besar’ yang kemudiannya diketahui sebagai Istana Raja Abdullah, dia melihat ada tiga individu yang dikatakan sebagai Putera Arab.
Bagaimanapun, dia tidak mengetahui identiti tiga putera itu kerana tidak pernah melihat mereka sebelum ini, tidak pernah membuat sebarang pengecaman (profiling) dan tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri termasuk pasport Putera Saud.
Pada perbicaraan sebelum ini, Fikri memberitahu kesemua wakil SPRM dan AGC ditunjukkan pasport diplomatik Putera Saud termasuk Mohd. Nasharudin selama 30 minit.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ditetapkan pada 24 Februari ini. – UTUSAN