2 anggota polis cedera dirempuh kereta dipandu wanita Singapura

2 anggota polis cedera dirempuh kereta dipandu wanita Singapura



am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dua anggota polis cedera dipercayai dirempuh sebuah kereta dipandu wanita warga Singapura di kawasan Jalan Persiaran Alif Harmoni di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan membuat pemantauan penugasan Ops Tapis di kawasan Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia, Johor Bahru.

Beliau berkata, polis mengesan sebuah kereta Perodua Axia dipandu dalam keadaan mencurigakan dan mengekori rapat kenderaan itu sehingga ke kawasan Jalan Persiaran Alif Harmoni di sini.

Menurutnya, ketika pasukan serbuan cuba menghampiri kenderaan suspek untuk membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba kereta terbabit dipandu secara merbahaya sehingga merempuh dua anggota polis hingga mereka terjatuh dan cedera di tangan.

Katanya, arahan diberikan agar suspek berhenti namun kenderaan terus dipandu laju menghala ke arah Lebuhraya Pasir Gudang.

“Kenderaan suspek dikejar dan melalui Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya Link Kedua.

“Suspek turut bertindak nekad dengan merempuh palang tol di plaza tol Senai Utara sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan (menghala ke utara) untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan Kluang digerakkan untuk bantuan dan kenderaan suspek ditahan di Simpang Renggam, Kluang.

Menurutnya, suspek dipercayai warga Singapura berusia 38 tahun yang juga pemandu kereta serta seorang penumpang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun ditahan.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan plastik disyaki dadah berbahaya.

“Susulan itu, polis melakukan dua serbuan berasingan di Johor Bahru dan merampas pelbagai jenis bahan disyaki dadah.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil semakan rekod lampau lelaki warga tempatan didapati mempunyai pelbagai rekod dadah, jenayah serta satu rekod dikehendaki.

“Dalam operasi ini, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, syabu, serbuk ekstasi, heroin dan pil nitrazepam dengan anggaran nilai keseluruhan RM54,831.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman enam hari bermula 31 Disember hingga 5 Januari 2025.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mencuba membunuh.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top