2 bangkai harimau dalam peti sejuk

2 bangkai harimau dalam peti sejuk


Hanoi: Polis Vietnam menemukan dua bangkai harimau yang disimpan di dalam peti sejuk beku di ruang bawah tanah sebuah rumah di wilayah Thanh Hoa, selatan Hanoi, baru-baru ini.

Polis turut menahan pemilik kediaman dan seorang lagi lelaki kerana disyaki terbabit dalam perdagangan haram haiwan terancam itu.

Vietnam yang terletak di Asia Tenggara dikenal pasti sebagai hab penggunaan dan laluan perdagangan produk hidupan liar haram termasuk tulang harimau yang digunakan dalam perubatan tradisional.

Polis di wilayah Thanh Hoa, selatan Hanoi memaklumkan mereka menemukan dua bangkai harimau dewasa seberat kira-kira 400 kilogram (kg) di ruang bawah tanah milik lelaki berusia 52 tahun, Hoang Dinh Dat.

Menurut kenyataan polis, lelaki terbabit mengaku membeli haiwan berkenaan pada harga dua bilion dong (RM362,190) daripada seorang penjual yang dikenal pasti sebagai Nguyen Doan Son, 31.

Menurut polis, kedua-dua suspek ditahan awal minggu ini.

Siasatan lanjut mendapati pemilik rumah memiliki peralatan untuk menghasilkan bahan dikenali sebagai ‘gam tulang harimau’ iaitu bahan melekit yang dipercayai mampu merawat penyakit berkaitan tulang.

Harimau suatu ketika dahulu berkeliaran di hutan Vietnam, namun kini spesies itu hampir pupus sepenuhnya di negara berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top