2 maut, 4 parah, kereta rempuh belakang treler rosak

2 maut, 4 parah, kereta rempuh belakang treler rosak


am@hmetro.com.my

Tangkak: Dua wanita maut manakala empat lagi parah selepas kereta dinaiki merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan tayar di Kilometer 168.5, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 20-an maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit dinaiki enam individu dengan dua daripadanya wanita manakala empat lagi lelaki.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Merlimau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang treler berhenti di lorong kecemasan.

“Rempuhan itu menyebabkan dua wanita yang duduk di belakang maut di lokasi manakala empat lagi menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar,” katanya dalam kenyataan.

Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Faszrulhad Zukapli di talian 012-2306943.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top