2 maut, motosikal terbabas di lebuh raya

2 maut, motosikal terbabas di lebuh raya



am@hmetro.com.my

Muar: Dua maut dengan seorang daripadanya putus kaki kanan selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 130.1, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah utara, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian 5.24 petang, mangsa maut ialah seorang lelaki yang juga penunggang motosikal berusia 28 tahun dan pembonceng, wanita berusia 29 tahun warga Singapura.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang lelaki warga tempatan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal jatuh di lorong kanan, manakala pembonceng wanita tercampak ke jalan.

“Penunggang motosikal parah di kepala, tangan dan badan manakala pembonceng putus kaki kanan, dengan kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Raiz Mukhliz meminta orang ramai atau saksi kejadian supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top