2 menteri Ghana maut nahas helikopter

2 menteri Ghana maut nahas helikopter


Accra: Menteri Pertahanan dan Menteri Alam Sekitar Ghana disahkan terkorban dalam nahas helikopter tentera yang terhempas di kawasan hutan di selatan negara itu, menurut kenyataan Pejabat Presiden pada Rabu.

Helikopter Z9 milik Tentera Udara Ghana itu membawa tiga kru dan lima penumpang apabila hilang dari radar selepas berlepas dari ibu negara, Accra, kira-kira 9 pagi waktu tempatan, sebelum ia ditemukan musnah dalam kebakaran di kawasan hutan tebal di Wilayah Ashanti.

Rakaman telefon bimbit yang disiarkan oleh stesen televisyen Joy News menunjukkan serpihan helikopter yang masih berasap.

Ia beberapa jam sebelum pihak berkuasa mengesahkan dua menteri kanan antara mangsa maut, iaitu Dr Edward Omane Boamah dan Ibrahim Murtala Muhammed.

Dr Boamah yang juga seorang doktor perubatan dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Presiden John Mahama selepas Mahama mengangkat sumpah pada Januari lalu.

Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Komunikasi dan Timbalan Menteri Alam Sekitar.

Muhammed, 50, pula adalah Menteri Alam Sekitar, Sains dan Teknologi.

Difahamkan, Muhammed dijadualkan menghadiri rundingan penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva berhubung perjanjian global untuk membanteras pencemaran plastik.

Media tempatan melaporkan helikopter berkenaan dalam perjalanan ke satu program berkaitan perlombongan haram iaitu isu alam sekitar utama yang membelenggu Ghana sejak sekian lama.

Menurut jurucakap tentera, semua lapan individu di dalam pesawat maut di tempat kejadian.

Antara mangsa lain ialah Alhaji Muniru Mohammed, bekas Menteri Pertanian yang kini bertugas sebagai Timbalan Penyelaras Keselamatan Negara, serta Naib Pengerusi parti pemerintah Kongres Demokratik Kebangsaan (NDC), Samuel Sarpong.

Tentera Ghana kini menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca nahas yang mengorbankan barisan kepimpinan tertinggi negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top