July 16, 2024

2 minggu terperangkap

2 minggu terperangkap



rencana@hmetro.com.my

DIREZEKIKAN menaiki helikopter unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai wakil media dalam misi menghantar bantuan makanan ke pos pedalaman Orang Asli di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini pasti menjadi pengalaman bermakna buat penulis.

Walaupun bukan kali pertama, keterujaan tetap dirasakan ditambah pula dapat menikmati pemandangan udara yang memukau mata sehingga ada kalanya terlupa merakam keunikannya.

Berlepas jam 11.15 pagi, penerbangan pertama ke Kampung Jader, Pos Simpor membawa bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Syahbuddin Hashim dan tiga wakil media termasuk penulis.

Kami sampai di kampung terbabit selepas 20 minit menaiki pesawat Mi-171 dengan 950 kilogram (kg) bahan makan untuk penduduk di Kampung Jader, Pos Simpor.

Kunjungan kami disambut mesra penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Jader, Pos Simpor.

Mereka gembira menerima sumbangan makanan kerana sudah lebih dua minggu tidak dapat keluar mendapatkan bekalan akibat jalan rosak dan tanah runtuh

Dalam operasi kali ini yang dilaksanakan selama empat hari, 20.8 tan makanan asas diagihkan kepada lima pos pedalaman Orang Asli yang membabitkan 56 kampung.

Misi itu turut membabitkan 18 anggota dari Unit Udara JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang Selangor.

Usai operasi penghantaran, penulis berkesempatan bertemu mata dengan Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Amir Fitri Salim yang tinggi lampai dan sangat murah dengan senyuman.

Bercerita berkenaan operasi terbabit, Amir berkata, setiap operasi perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana ia membabitkan nyawa penumpang yang dibawanya.

“Dalam setiap operasi dan sebelum melakukan penerbangan ‘kuartermaster’ akan bertanggungjawab mengira jumlah barangan dan penumpang yang boleh dibawa ketika penerbangan.

\”Mi-171 boleh membawa 13 tan berat keseluruhan termasuk minyak, bahan makanan dan penumpang.

“Jumlah berat muatan barangan dan penumpang dibawa bergantung kepada kapasiti minyak pesawat, selain ketinggian altitud tempat pendaratan yg perlu diambil kira, berdasarkan limitasi yang terdapat di dalam manual pesawat. Jika jumlah minyak sedikit mungkin boleh dilebihkan jumlah penumpang atau barangan.

“Taklimat operasi akan dilaksanakan komander pesawat bagi memastikan objektif dilaksanakan dengan cekap oleh setiap anggota yang terlibat,” katanya yang sudah berkhidmat 13 tahun di unit terbabit.

Bercerita lanjut, bapa seorang cahaya mata ini berkata, apabila membuat keputusan membabitkan diri dalam unit itu, dia sudah bersedia berhadapan dengan cabaran tambahan pula itu cita-citanya sejak kecil.

“Tugas menyelamat dari udara ini membabitkan pelbagai lokasi termasuk di lautan atau di pergunungan contohnya mengambil pendaki yang sakit atau bot karam.

“Namun dalam apa jua situasi kami sudah dilatih bagaimana menghadapinya. Alhamdulillah, akhirnya cita-cita menjadi juruterbang sudah tercapai.

“Tugas dan tanggungjawab saya kepada masyarakat, Insya-Allah akan dilaksana sebaik mungkin,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pegawai kejuruteraan pesawat selama empat tahun sebelum menjadi juruterbang.

Namun tugas berbeza buat Kuartermaster, Mohd Abd Hadi Abd Hamid, 32, yang menceritakan, sebelum melaksanakan operasi di pedalaman Orang Asli, antara tugas lain kuartermaster adalah meninjau dan mencari tapak sesuai untuk pendaratan helikopter.

“Biasanya sebelum operasi menghantar makanan tugas kami menyediakan tapak untuk helikopter mendarat bagi kawasan yang tidak pernah dimasuki. Jadi, sebelum operasi bermula kami sudah masuk ke perkampungan Orang Asli dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk meninjau dan menyediakan tapak yang sesuai.

“Pengalaman saya sendiri pernah berjalan kaki kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke kawasan Orang Asli di pedalaman dengan kawasan hutan tebal apabila kenderaan pacuan empat roda tidak dapat masuk ke laluan terbabit.

“Ini menjadi asam garam dan pengalaman berharga buat saya dan tidak pernah melunturkan minat untuk terus berkhidmat dalam unit ini serta berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Justeru, terbit rasa kagum penulis dengan perwira merah ini dalam melaksanakan operasi dan misi menyelamat dari udara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top