2 penjenayah terbabit lebih 70 kes samun ditembak mati di Nilai

2 penjenayah terbabit lebih 70 kes samun ditembak mati di Nilai


am@hmetro.com.my

Nilai: Dua penjenayah dipercayai terbabit dengan lebih 70 kes samun mati ditembak polis dekat kawasan parkir sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, kedua-dua suspek terlebih dahulu dikejar di sekitar Nilai sebelum polis berjaya memintas mereka di kawasan berkenaan dan berlaku kejadian berbalas tembakan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek adalah lelaki warga tempatan berusia 29 dan 40 tahun.

Menurutnya, pihaknya menemui dua senjata api digunakan suspek, yang mana tembakan dilepaskan turut merosakkan kenderaan polis.

Bagaimanapun katanya, tiada anggota yang tercedera.

“Kumpulan ini aktif menyamun rumah, premis tempat pengumpulan barang syarikat penghantaran dan kedai serbaneka di sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Perak serta Kuala Lumpur.

“Suspek berusia 40 tahun didapati mempunyai 76 rekod jenayah membabitkan keganasan dan dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai 11 rekod,” katanya pada sidang media tengah malam ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek juga terbabit dengan kumpulan kongsi gelap berdasarkan penggunaan senjata api.

Katanya, susulan kejadian, pihaknya akan meneruskan operasi memburu suspek lain dan membuat beberapa serbuan serta rampasan berkait kumpulan penjenayah terbabit.

“Lokasi tembakan juga dipercayai lokasi persinggahan kumpulan ini. Kita akan mengenalpasti beberapa lokasi lain yang dijadikan tempat tinggal suspek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top