2 rakyat Malaysia di Guantanamo: Polis terima hari ini, bakal lalui proses pemulihan

2 rakyat Malaysia di Guantanamo: Polis terima hari ini, bakal lalui proses pemulihan


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima dua orang warga Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep hari ini dan mereka kini berada dalam proses penilaian serta seterusnya akan memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum mereka direintegrasi ke dalam masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan supaya kedua-dua individu itu menjalani proses pemulihan tersebut sebagai langkah memberi mereka peluang kedua dalam kehidupan.

“Kedua-duanya diterima dalam keadaan baik dan sihat serta meluahkan rasa syukur yang mendalam kerana dapat kembali ke tanah air dan pangkuan keluarga masing-masing.

“Proses tersebut adalah sebahagian daripada usaha polis bagi memastikan setiap individu diberikan peluang kedua,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mereka berdua telah menunjukkan sikap yang positif serta terbuka untuk menjalani proses penilaian dan pemulihan.

“PDRM komited untuk memastikan mereka berjaya menggapai peluang kedua ini dengan penuh kejayaan.

“Kedua-dua individu tersebut juga menzahirkan komitmen yang tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif dan mampu memberi sumbangan yang bermanfaat kepada negara.

Jelas beliau, polis akan memastikan mereka diberikan sokongan penuh dalam setiap fasa pemulihan yang dilalui.

Razarudin kemudian menegaskan bahawa setiap individu berhak mendapat peluang kedua untuk berubah.

“PDRM akan terus memberi sokongan bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan kembali ke masyarakat dengan sikap yang positif serta produktif,” tambahnya.

Pada hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Amerika Syarikat (AS) menyerahkan mereka berdua yang ditahan di Kem Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lalu.

“Keputusan menerima dua individu berkenaan dibuat atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua rakyat Malaysia itu berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top