200 tentera AS akan sertai 'pasukan petugas bersama' gencatan senjata Gaza

200 tentera AS akan sertai 'pasukan petugas bersama' gencatan senjata Gaza


Washington: Kira-kira 200 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan menyertai pasukan multinasional yang akan memantau dan membantu melaksanakan gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang dikepung, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik pegawai AS pada Khamis.

Seorang daripada pegawai yang memberi taklimat kepada pemberita dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata bahawa “tiada tentera AS yang dijangka memasuki Gaza.”

Lokasi sebenar mereka akan ditempatkan dijangka dibincangkan pada Jumaat.

Pegawai itu berkata, anggota berkenaan pada peringkat awal akan ditugaskan menubuhkan sebuah “pusat kawalan bersama” sebelum bekerjasama untuk menyelaras operasi dengan pasukan dari negara lain “bagi mengelak pertindihan operasi dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), dan seterusnya membina struktur pasukan yang sesuai untuk melaksanakan misi seperti yang ditetapkan.”

Komander Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) Laksamana Bradley Cooper akan “menyelia, memerhati dan memastikan tiada pelanggaran atau pencerobohan berlaku. Semua pihak bimbang terhadap tindakan pihak satu lagi,” kata seorang lagi pegawai.

“Kebanyakan tugasan ini adalah pengawasan,” katanya.

Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata pasukan AS itu akan ditugaskan memantau perjanjian damai di Israel dan akan bekerjasama dengan pasukan antarabangsa lain di lapangan.

Seorang pegawai berkata AS terlibat dalam perbincangan dengan beberapa kerajaan berhubung penubuhan apa yang dinamakan sebagai “International Stabilisation Force” yang akan menggunakan hasil kerja yang dilaksanakan oleh pasukan petugas bersama itu sebagai persediaan untuk menggantikan kehadiran tentera Israel di Gaza di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning.”

Istilah itu merujuk kepada kawasan dari mana Israel dijangka berundur pada peringkat awal di bawah pelan Presiden Donald Trump.

“Selepas itu akan ada perbincangan, dan kita akan melihat sama ada benar-benar wujud laluan untuk, saya fikir kita menyebutnya sebagai pelucutan kemudahan ketenteraan di Gaza dan pelucutan senjata berat bagi membolehkan proses itu dimulakan,” kata seorang lagi pegawai.

“…Buat masa ini, kami hanya memberi tumpuan untuk menutup sebarang kelompangan dalam perjanjian itu,” tambahnya.

Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara yang diumumkannya pada 29 Sept bagi mencapai gencatan senjata di Gaza, membebaskan semua tawanan Israel yang ditahan di wilayah itu sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin, serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari seluruh Semenanjung Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top