am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kira-kira 20,000 peminat sukan bola sepak tanah air dijangka membanjiri Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 pada 27 September depan.
Pengerusi TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, beliau menjangkakan kejohanan bola sepak bagi merebut piala berprestij itu mendapat sambutan menggalakkan memandangkan sehingga kini sudah 75 peratus tiket terjual malah beberapa pihak menempah tiket dari masa ke semasa.
“Hanya berbaki 400 tiket lagi, siapa lambat pasti tidak dapat. Jadi, cepat-cepat ambil peluang. Sekarang, kita masih menerima tempahan tiket TSSC 2025…kapasiti di Stadium Merdeka adalah sekitar 20,000.
“Stadium Merdeka adalah suatu warisan negara yang melakarkan banyak sejarah, ini kali kedua kejohanan TSSC diadakan di sana dengan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharfuddin Idris Shah.
“Jadi, saya nasihatkan cepat-cepat beli tiket sebelum kehabisan, kepada semua yang akan hadir kami menggalakkan agar menggunakan pengangkutan awam berdekatan stadium yang strategik itu. Kita sama-sama elakkan kesesakan lalu lintas, datang beramai-ramai menyaksikannya dan ada banyak hadiah cabutan bertuah untuk penyokong yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Tiket TSSC 2025 yang turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar MBSA, Safriah Md Azhar di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 di sini hari ini.
Sementara itu Safriah berkata, pihaknya berbesar hati apabila Majlis Bandaraya Shah Alam dipilih sebagai salah satu lokasi penyerahan tiket perlawanan bola sepak TSSC 2025 dan menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) ke lima dalam siri jelajah publisiti TSSC 2025.
“Bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepada kejohanan TSSC 2025, MBSA menyumbangkan sebanyak RM50,000 untuk pembelian tiket dan RM6,000 untuk pembelian t-shirt yang akan diedarkan kepada warga kerja MBSA.
“Selain itu, MBSA akan menyediakan dua buah bas untuk membawa warga kerja MBSA menyaksikan perlawanan itu. Ini komitmen MBSA bagi memastikan kejohanan TSSC dapat berlangsung gilang gemilang.
“Saya sedia maklum, ada kalangan warga kerja MBSA adalah Ultras Selangor yang menunjukkan semangat luar biasa menyokong gergasi merah di stadium kelak, tetapi kita terikat dengan tatakelakuan penjawat awam. Jadi tunjukkan contoh yang baik kepada orang awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd