2,039 mangsa banjir di Kedah dipindahkan ke 11 PPS

2,039 mangsa banjir di Kedah dipindahkan ke 11 PPS



am@hmetro.com.my

Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 2,039 orang membabitkan 341 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS)di enam daerah.

Jumlah itu dilaporkan setakat 11.05 malam ini berbanding jumlah yang dilaporkan pada 8 malam iaitu seramai 1,018 mangsa.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat berikutan hujan yang melanda hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersedia membuka PPS di daerah yang dilanda banjir yang membabitkan jumlah mangsa yang ramai dan memastikan semua mangsa banjir mendapati bekalan makanan yang mencukupi.

Sementara itu, operasi penyelamatan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Kuala Nerang sedang dilakukan di kawasan Kampung Derang yang dinaiki air sejak petang tadi.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kesemua mangsa banjir di kawasan terbabit dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Derang di Pokok Sena.

Katanya, operasi penyelamatan yang dilakukan di kawasan itu menggunakan bot ke PPS di SMA Derang sudah tamat sepenuhnya pada 10.18 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top