21 pengikut Syiah ditahan di Pendang

21 pengikut Syiah ditahan di Pendang



am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) menahan 21 individu yang dipercayai mengikuti ajaran dan fahaman Syiah di sebuah rumah di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Pendang, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama negeri Kedah, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin berkata, serbuan 9.50 malam itu selepas JHEAIK menerima maklumat terdapat pengikut ajaran Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah Ke-11, Imam Hasan Al-Askari bertempat di rumah Abdullah Hassan yang didakwa sebagai ketua Syiah di Kedah.

Katanya, dalam 0perasi Khas Syiah oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) JHEAIK bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, mereka turut merampas kitab-kitab dan barangan yang dikaitkan dengan ajaran berkenaan.

“Kesemua 21 individu yang ditahan di rumah berkenaan terdiri daripada enam lelaki, sembilan wanita dan enam kanak-kanak, berusia antara tiga hingga 77 tahun.

“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainul Mukhtar berkata, penahanan individu terbabit seiring dengan ajaran dan fahaman Syiah yang diwartakan pada 15 Jun 2014 sebagai bercanggah dan menyeleweng dari ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam khususnya di negeri Kedah.

Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top