21,114 remaja mengandung anak luar nikah

21,114 remaja mengandung anak luar nikah


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 21,114 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin, hamil sepanjang tempoh 2019 hingga 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata rekod di fasiliti kerajaan itu adalah berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, usaha membendung isu berkenaan sudah dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi pelbagai inisiatif.

“Antara inisiatif itu termasuk membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI).

“Ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan (resilient).

“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen tadi.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut umur, jantina dan bangsa dari 2019 hingga 2025.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, PEKERTI turut melibatkan tindakan bersepadu pelbagai kementerian menerusi platform Majlis Sosial Negara, termasuk memasukkan program itu sebagai salah satu program di peringkat institusi pengajian tinggi, meluaskan pelaksanaannya di peringkat komuniti serta mempergiat aktiviti, promosi dan advokasi berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

Selain itu, beliau berkata, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan khidmat sokongan khusus kepada remaja menerusi Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.

“KafeTEEN merupakan inisiatif LPPKN bagi menyediakan ruang bimbingan dan pendidikan kepada remaja untuk membentuk kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang positif.

“Ketika ini, akses kepada perkhidmatan sokongan remaja diperluaskan melalui 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN serta pelaksanaan program komuniti yang menawarkan perkhidmatan klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.

“Perluasan program KafeTEEN turut dilaksanakan melalui latihan pendidik rakan sebaya (peer educators) di bawah Kelab KafeTEEN yang kini beroperasi di 143 sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu sebagai usaha memperkasakan institusi keluarga demi kestabilan sosial.

“Antara teras yang digariskan adalah untuk memperkasakan keupayaan perancangan keluarga menerusi usaha memperkukuhkan peranan ibu bapa dan remaja.

“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top