Selepas lebih dua dekad menunggu dengan penuh kesabaran, pelakon dan penyanyi Abby Abadi akhirnya boleh menarik nafas lega apabila mas kahwin tertunggak daripada bekas suaminya, Norman Hakim, diselesaikan sepenuhnya.
Perkara itu dikongsikan Abby menerusi sebuah hantaran di TikTok apabila dia memuat naik bukti transaksi pembayaran secara dalam talian bertarikh 2 Disember lalu, dengan keterangan jelas tertera ‘mas kahwin tertunggak’, sekali gus menamatkan penantian selama 22 tahun.
Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 46, perkongsian tersebut dibuat dalam keadaan hati yang tenang, sekadar memaklumkan bahawa urusan lama itu akhirnya menemui noktah.
“Dengan tenangnya saya kongsikan sedikit supaya semua tahu perkara ini sudah selesai selepas 22 tahun. Terima kasih kepada suami dan Memey yang tidak pernah mencampuri urusan tertangguh ini. Bukan niat untuk berkongsi sangat, rezeki saya tetap rezeki saya. Alhamdulillah,” katanya.

Abby turut merakamkan penghargaan kepada Norman yang disifatkan berlapang dada menunaikan tanggungjawab tersebut apabila sudah berkemampuan, selain mengakui dirinya memilih untuk terus bersabar sepanjang tempoh penantian itu.
“Terima kasih Norman Hakim kerana sudi melangsaikan apa yang tertunggak setelah berkemampuan. Awak kata tak perlu kongsi, tapi tak mengapa. Saya berkongsi bukan kerana isu ini berlarutan, tetapi kerana ia memang tidak pernah selesai sebelum ini,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, sepanjang 22 tahun itu, dia hanya memilih untuk menunggu tanpa menuntut secara berlebihan, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah.
“Saya menunggu dengan penuh kesabaran. Semoga berkat kesabaran selama 22 tahun ini, Allah kurniakan saya sebuah mahligai, bukan hanya di dunia, tetapi juga di syurga. Dan semoga diberikan rezeki yang lebih besar. Amin,” katanya lagi.
@abbyabadi.exclusive Dengan tenangnya, Sy Share la serba sikit- biar semua tahu, yg ni dah selesai setelah 22tahun ya.. 🤭Terima Kasih Suami & Memey tak pernah campur urusan2 yg tertangguh ini.. Ps: Korang! Yg terbaca post ini… Cerita sini habis sini ok hihi.. bukan nak share sangatpun sbnrnya.. cuma nk maklum, berkat kesabaran selama 22tahun ni.. rezeki Sy, tetap rezeki Sy.. Alhamdullilah burpppp! Hihi.. Terima Kasih @normanhakim_786 sudi bayar apa yg tertunggak setelah berkemampuan.. Awk kata tak perlu share.. tapi takpelah, Sy suka nak share.. bukan sbb tak habis2 .. tp memang tak pernah selesaipun 😆😖 Sy terus menunggu dgn penuh kesabaran. Semoga berkat kesabaran selama 22 tahun ini dapatlah Sy sebuah Mahligai bukan hanya di dunia tapi di Syurga sana… & duit belanja besar jugaaaa nanti ..Aminnnn!! 🤭😍 Tolong Aminkannnnn kawan2 😆🤭
Bagaimanapun, dalam hantaran lain Abby menjelaskan isu ini masih belum selesai kerana Norman perlu membayar nafkah anak termasuk makan, minum dan tempat tinggal untuk 18 tahun.


Imbas kembali, Abby dan Norman berkahwin pada 2002 namun bercerai pada 2008 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga orang anak.
Norman kemudian berkahwin dengan aktres, Memey Suhaiza pada 2011, manakala Abby pula mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria pada 2015.






