am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Sebanyak 25 ternakan, terutama kerbau mati akibat dijangkiti Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah di Kuala Terengganu sejak Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kes kematian kerbau disebabkan penyakit itu dikesan di Kampung Dusun Tembakau, Manir.
Katanya, tindakan pengawalan pencegahan bagi mencegah penularan, termasuk notis arahan kuarantin mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953, dikeluarkan dan diserahkan kepada penternak semalam.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri juga sudah mengeluarkan surat makluman larangan pemindahan keluar dan masuk lembu serta kerbau daripada kampung berkenaan.
“Larangan pemindahan ternakan itu dikeluarkan bagi mengekang penularan penyakit hawar berdarah dalam lingkungan lima kilometer radius daripada lokasi wabak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, pemilik ternakan hanya dibenarkan melakukan pemindahan ternakan ke rumah sembelih di Gong Badak, Kuala Nerus iaitu rumah sembelih JPV dan rumah sembelih swasta berlesen di Kampung Tok Rimau, Kuala Terengganu.
Katanya, larangan pemindahan ternakan ke kawasan lain berkuatkuasa semalam hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan.
“Bantuan nyahkuman atau dekontaminasi iaitu satu tong kapur berklorin kepada enam pengusaha ternakan yang mati bagi mengurangkan risiko penyebaran penyakit turut diberikan.
“Tahun lalu, kerajaan negeri melalui JPV juga sudah melakukan 11,731 suntikan vaksin penyakit hawar berdarah.
“Sebanyak 342 suntikan vaksin berkenaan dilakukan terutama membabitkan kawasan berisiko banjir iaitu di daerah Setiu, Dungun dan Kuala Nerus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd