harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga lelaki disyaki pencuri kabel bertindak nekad merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di Jalan Cheras ketika cuba melarikan diri daripada polis, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhasan berkata, dalam kejadian 2.45 petang itu, tiga suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia 30-an hingga 40-an menaiki kenderaan pacuan empat Toyota Hilux.
“Semua ditahan kerana disyaki terbabit kecurian kabel dan menghalang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
“Hasil pemeriksaan menemukan empat karung guni berisi kabel tembaga disyaki dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejadian itu turut tular selepas beberapa klip video memaparkan pacuan empat roda berkenaan merempuh beberapa kereta dimuat naik di media sosial.
Katanya, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur turut menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.40 petang semalam.
“Kesemua pemandu lain yang terbabit dalam suspek berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan bagi membantu siasatan Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd