am@hmetro.com.my
Foto Wan Nabil Nasir
Alor Setar: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra masih ditahan untuk membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan tiga pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Alor Setar ke selatan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia 43 tahun itu akan dibenarkan jaminan selepas siasatan berkaitan kes itu selesai.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kenderaan itu dipercayai berhenti di tempat kejadian untuk menukar pemandu.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini media melaporkan tiga pelajar IKBN Jitra yang maut adalah Muhamad Habil Mohd Sobri berasal dari Gurun; Muhammad Fahmi Mohd Jamel (Jeniang, Sik) dan Muhamad Arif Aifan Derani (Bukit Selambau, Sungai Petani) masing-masing berusia 19 tahun.
Ketiga mangsa itu dikatakan menaiki dua motosikal dipercayai dalam perjalanan untuk pulang bercuti sempena Aidiladha yang disambut esok.
Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Adib Aiman Mohamad Hasan, 19, yang membonceng sebuah motosikal itu pula mengalami cedera parah di kaki dan kini sedang dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Berikutan itu, polis menahan pemandu kenderaan berkenaan untuk membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd