3 sekolah masih tutup operasi

3 sekolah masih tutup operasi



am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tiga sekolah di Kampung Maju Jaya di sini masih menutup operasi hari ini akibat pencemaran bau yang berlaku sejak kelmarin.

Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan berkata, tiga sekolah berkenaan termasuk

Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya membabitkan 974 murid dan 64 guru Sekolah Rendah Islam Hidayah dengan 1,232 murid serta 92 guru, manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah mempunyai 807 pelajar dan 75 guru.

Menurutnya, arahan penutupan sekolah diterima sehingga hari ini dan ibu bapa dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini berkaitan pengoperasian semula sekolah daripada pengurusan sekolah.

“Pencemaran bau sudah berkurangan dan lebih baik berbanding semalam. Semua sekolah terbabit masih melaksanakan sesi pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengelakkan murid atau pelajar ketinggalan.

“Malah sekumpulan murid SK Maju Jaya yang mengalami gejala ringan akibat pencemaran juga kini dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.

Roslan berkata, hanya seorang murid SK Maju Jaya mendapatkan rawatan di bahagian pesakit luar Hospital Sultan Ismail (HSI) dan kini dia dalam keadaan baik.

“Kami menunggu arahan agensi berkaitan berkaitan kebenaran pengoperasian semula sekolah.

“Diharap masalah pencemaran ini pulih sepenuhnya bagi memastikan aktiviti persekolahan dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Seramai 21 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya di sini mengalami loya, sesak nafas dan pening akibat terdedah dengan pencemaran bau sejak awal pagi kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top