hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bukit Aman melumpuhkan tiga sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM208.25 juta.
Dalam siri operasi khas yang dijalankan bermula 30 Januari hingga 3 Februari itu menyaksikan penahanan seramai 13 individu termasuk warga asing yang dipercayai menjadi dalang utama, keldai dadah serta penghantar (transporter) bagi sindiket berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan menerusi ‘Op Apiocera’, ‘Op Diogma’ dan ‘Op Allograpta’ adalah hasil risikan berterusan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah yang menjadikan Malaysia sebagai hab transit dan pasaran.
Menurutnya, rampasan terbesar berjaya dilakukan dalam ‘Op Apiocera’, apabila pihaknya membongkar taktik sindiket yang menjadikan kediaman mewah sebagai stor penyimpanan dadah sintetik bernilai RM180 juta.
“Serbuan yang dijalankan bermula 31 Januari hingga 2 Februari itu tertumpu di rumah teres di Kepong, Kuala Lumpur dan sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui lambakan dadah yang sedia untuk diedarkan. Antara yang dirampas adalah serbuk MDMA seberat 843.8 kilogram (kg), pil Erimin 5 (325.2 kg), pil Ekstasi (104.3 kg), Ketamin (97.7 kg) dan Methamphetamine (9.5 kg).
“Siasatan mendapati sindiket ini didalangi oleh seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ketua sindiket. Dia dibantu oleh seorang wanita warga asing yang juga kekasihnya bagi menguruskan gerak kerja pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, mereka menyewa kediaman di kawasan elit sebelum dijadikan pusat pembungkusan dan penyimpanan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut Hussein, pihaknya turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard, Honda Accord dan Perodua Myvi dengan nilai sitaan harta berjumlah RM118,800.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan menerusi ‘Op Diogma’ pada 2 dan 3 Februari, taktik licik sindiket menggunakan keldai dadah untuk menyeludup ‘bunga ganja’ ke luar negara berjaya dipatahkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1.
“Operasi susulan turut dijalankan di sekitar Selangor dan Pulau Pinang, membawa kepada penahanan enam individu berusia antara 31 hingga 37 tahun, yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan
“Dadah jenis bunga ganja seberat 188 kg yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM15 juta. Siasatan awal mendedahkan bekalan dadah ini diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan tikus di Chuping dan Padang Besar, Perlis.
“Bekalan itu kemudian dibawa ke Lembah Klang untuk disimpan sementara sebelum cuba diseludup keluar ke luar negara menggunakan khidmat keldai dadah warga asing melalui jalan udara,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya pada 30 Januari lalu turut melancarkan ‘Op Allograpta’ dan berjaya memintas penghantaran dadah jenis Methamphetamine seberat 265 kg bernilai RM13.25 juta.
“Tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 40 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Pahang dan di kawasan parkir sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan kereta sewa untuk membawa dadah dari Kelantan ke Lembah Klang. Kenderaan berisi dadah itu kemudiannya ditinggalkan di kawasan parkir tertentu sebelum diambil oleh ahli sindiket lain tanpa perlu bersua muka,” katanya.
Menurutnya, semua sembilan suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga suspek bagi kes Allograpta sudah dituduh di mahkamah hari ini mengikut seksyen sama.
“PDRM menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk ‘jerung’ yang terbabit dalam jenayah ini demi menjaga keselamatan dan imej negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






