am@hmetro.com.my
Alor Setar: Tiga sungai di tiga daerah di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya berikutan hujan berterusan hari ini.
Berdasarkan lama Info Public Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, Sungai Ketil di Kampung Bongor daerah Baling mencatatkan aras air melepasi tahap bahaya 60.42 meter (m) berbanding 60 meter sebelum ini dan Sungai Chapar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ampang di Sik melepasi 72.3 m berbanding 72 m.
Selain itu, aras air Sungai Pendang di Pekan Pendang pula turut melepasi tahap bahaya 2.74 m berbanding 2.7 m setakat jam 7 petang hari ini.
Ketiga-tiga sungai berkenaan menunjukkan trend menaik.
Sementara itu, Sungai Sedim di Kampung Sedim (F2) dan Sungai Sedim di daerah Baling serta Sungai Melaka di Bukit Kemboja di pulau Langkawi pula sudah melepasi tahap amaran.
Dalam pada itu, setakat ini berdasarkan tinjauan di media sosial mendapati beberapa kawasan di daerah di negeri ini seperti Kodiang dan Changlun di daerah Kubang Pasu, Kulim, Pendang dan Sik sudah dinaiki air.
Tinjauan mendapati, orang ramai turut membuat hantaran video di media sosial mereka memaklumkan kawasan mereka dinaiki air namun masih terkawal.
Difahamkan, pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah sudah bersiap sedia dan melakukan pemantauan di lokasi yang dinaiki air.
© New Straits Times Press (M) Bhd