PETALING JAYA: Seramai 300 orang penduduk berpendapatan rendah di Pangsapuri Puchong Permai, Puchong menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada pelbagai pihak baru-baru ini.
Antara barangan yang disumbangan menerusi program dianjurkan Persatuan Pembangunan Masyarakat dan Alam Selangor (Hands) itu adalah seperti beras, sayur-sayuran serta barangan keperluan asas lain.
Presiden Hands, Datuk Dr. R. Kannan berkata, program itu mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jawatankuasa penduduk setempat.
Sumbangan itu katanya, sedikit sebanyak membantu kira-kira 300 penduduk menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
“Barangan bantuan keperluan asas ini datang daripada pelbagai pihak, termasuk NGO dan individu yang prihatin terhadap rakyat disini,” katanya.
Beliau memberitahu, program sumbangan itu merupakan aktiviti keenam Hands pada tahun ini sejak penubuhannya lapan tahun lalu.
“Tahun lalu, Hands telah mengadakan beberapa program serupa di seluruh Selangor. Setiap tahun sejak penubuhan, kami sentiasa berusaha menyantuni penduduk berpendapatan rendah dengan pelbagai sumbangan.
“Menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina, Hands merancang satu program yang lebih besar bagi memastikan lebih ramai penduduk berpendapatan rendah mendapat barangan keperluan asas secara percuma,” katanya.-UTUSAN.






