KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 peserta menunjukkan solidiriti kepada Gaza sempena Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza (H4G) di Dataran Merdeka.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Apandi Mohamad berkata, program itu turut mendapat sokongan dari semua parti politik dan tokoh-tokoh dari pelbagai agama.
Katanya, himpunan itu menunjukkan rakyat Malaysia bersatu menentang keganasan dan penindasan di Gaza.
“Semua persatuan agama datang memberi ucapan, pastor serta sami.
“Saya nak menunjukkan program ini berhasrat menunjukkan apabila kita ada satu tujuan, iaitu menentang keganasan demi menyelamatkan apa yang berlaku di Gaza, kita di Malaysia nak menunjukkan ‘we are one’.
“Ini permulaan. Insya-Allah, kita akan meneruskan sehinggalah kita lihat Gaza dibebaskan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di himpunan di sini, hari ini.
Mohd. Apandi berkata, deklarasi yang dicapai pada akhir perhimpunan ini akan diserahkan kepada Putrajaya dan pertubuhan antarabangsa dalam masa terdekat.
“Kita akan serahkan kepada pihak antarabangsa termasuk OIC dan Insya-Allah kita akan sampai kepada peringkat PBB,” katanya.
Tambahnya, Ia bagi menzahirkan solidariti peserta dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap penindasan rakyat Palestin.
“Deklarasi ini untuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menamatkan pendudukan haram Israel ke atas Palestin.
“Malah, turut memohon negara terlibat berhenti bekerjasama dengan Israel yang jelas menentang umat Islam di Gaza,” katanya.
Terdapat sembilan deklarasi yang dituntut melalui H4G iaitu:
1. Menuntut penamatan segera sekatan darat, udara dan laut selama 17 tahun yang dikenakan terhadap rakyat Gaza.
2. Menuntut akses kemanusiaan yang tidak terhalang, segera dan selamat bagi barangan keperluan asas, makanan, ubat-ubatan dan bekalan.
3. Meminta kuasa pendudukan bertanggungjawab sepenuhnya melalui siasatan segera oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
4. Mengarahkan pembukaan kekal dan tanpa syarat bagi lintasan Rafah dan Kerem Shalom di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
5. Memastikan kemudahan dan kakitangan perubatan beroperasi semula, di samping penempatan pasukan perubatan antarabangsa bagi menangani keperluan kesihatan kritikal Gaza.
6. Memudahkan penguatkuasaan gencatan senjata kekal untuk melindungi orang awam mengikut undang-undang antarabangsa.
7. Menubuhkan tabung antarabangsa bebas yang dikhususkan untuk pembinaan semula Gaza, bebas daripada halangan oleh pihak berkuasa pendudukan
8. Menjamin platform untuk masyarakat sivil Gaza menyuarakan pandangan mereka dalam forum antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Hak Asasi Manusia.
9. Melaksanakan sekatan ekonomi yang disasarkan, embargo ketenteraan, dan menyokong inisiatif boikot terhadap entiti yang terlibat dalam jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.-UTUSAN