am@hmetro.com.my
Kuantan: Seramai 302 pesara kerajaan antara 5,658 individu menjadi mangsa penipuan secara dalam talian yang keseluruhannya berjumlah RM120 juta bagi tempoh tiga tahun sejak 2022 hingga 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, berkata berdasarkan statistik Polis Pahang, pesara kerajaan yang menjadi mangsa penipuan itu meningkat setiap tahun.
Katanya, pada 2022, statistik merekodkan seramai 85 pesara kerajaan mengalami kerugian RM8.9 juta, diikuti 102 pesara dengan kerugian RM3.7 juta (2023) dan 115 pesara pula membabitkan kerugian RM8.9 juta pada tahun lalu.
“Bagi tempoh tiga tahun, sejumlah RM35 juta kerugian direkodkan pada 2022, diikuti RM46 juta (2023) dan RM39 juta (2024) yang membabitkan 5,658 mangsa termasuk 302 pesara kerajaan,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Chon Siang berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wong Tat Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan) yang ingin tahu jumlah pesara kerajaan yang mengalami kerugian penipuan secara dalam talian bagi tempoh tiga tahun sejak 2022.
Katanya, sebanyak 88 ceramah dianjurkan polis Pahang untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.
“Dalam kes ini saya meminta masyarakat berhati-hati dan tidak tamak serta mengejar kekayaan dengan mudah,” katanya menjawab soalan tambahan V Arumugam (BN-Sabai) yang mahu kerajaan mengambil langkah membendung kes terbabit.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim, berkata Pahang mempunyai 12 hospital di seluruh negeri itu.
Katanya, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini berstatus hospital negeri, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (hospital pakar major) dan Hospital Kuala Lipis, Bentong dan Pekan (hospital pakar minor).
“Hospital Raub, Jengka, Jerantut, Bera, Rompin, Muadzam Shah dan Sultanah Hajah Kalsom dikategorikan hospital daerah tanpa pakar,” katanya menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ketari).
© New Straits Times Press (M) Bhd