am@hmetro.com.my
Langkawi: Seramai 320 peserta cilik menyertai Ironkids yang dianjurkan sempena Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2025 di sini, hari ini.
Turut kelihatan di tempat pelepasan peserta di Pelangi Beach Resort & Spa, di sini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain Bella Astillah bersama dua anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Acara ironkids membabitkan saingan dalam kategori aquathlon dan larian komuniti dengan penyertaan terdiri kanak-kanak berusia 0 hingga 15 tahun yang bermula jam 8.30 pagi.
Difahamkan Ayden, 9, menyertai kategori aquathlon, manakala Ara, 6, bersaing dalam larian komuniti.
Acara aquathlon menawarkan dua kategori umur iaitu tujuh hingga 10 tahun dan 11 hingga 15 tahun, manakala larian komuniti membabitkan umur 0 hingga 6 tahun, selain 7 hingga 10 tahun dan 11 hingga 15 tahun.
Bagi peserta aquathlon tujuh hingga 10 tahun, mereka perlu melakukan disiplin renang sejauh 100 meter (m) dan larian sejauh 1.8 kilometer (km), manakala bagi peserta 11 hingga 15 tahun, renangan mereka sejauh 200m dan larian 3.6km.
Peserta larian komuniti 0 hingga 6 tahun pula perlu berlari sejauh 1.8 kilometer (km) dengan ditemani pemandu atau waris, manakala untuk usia 7 hingga 10 tahun perlu melakukan larian sejauh 1.8km dan 11 hingga 15 tahun larian sejauh 3.8km.
Sementara itu, peserta aquathlon, Muhammad Mujahid Shakib, 12, dari Gombak, Selangor, berkata dia gembira dapat menamatkan acara renang 100m dan larian sejauh 1.8km pada acara itu.
“Saya tidak meletakkan sasaran tapi gembira kerana dapat menamatkan acara ini walaupun baru pertama kali sertai acara ini,” katanya ketika ditemui selepas acara berakhir.
Seorang lagi peserta kategori larian komuniti, Ayna Elyssa Mohammad Bukhairi, 5, dari Shah Alam turut gembira kerana berjaya menamatkan acara itu, walaupun tidak berjaya menduduki tiga tempat teratas.
“Pengalaman sertai acara ini sangat berharga kali ini dan akan datang lagi untuk mencuba nasib bagi kali kedua tahun hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






