33 bekas atlet berkampung di Padang KTM, Tumpat

33 bekas atlet berkampung di Padang KTM, Tumpat


Oleh Siti Rohana Idris

Gambar: Siti Rohana Idris

sukanteam@nstp.com.my

TUMPAT: Seramai 33 bekas atlet termasuk yang bergelar ‘lejen’ menempuh perjalanan selama 17 jam menaiki kereta api bermula dari stesen Kuala Lumpur sebelum tiba di stesen terakhir di Tumpat.

Perjalanan jauh yang turut disertai bekas pemain bola sepak tanah air, Datuk Santokh Singh, bekas olahragawati negara, Datuk Zaiton Othman dan bekas juara bina badan, Datuk Malek Noor itu adalah untuk memeriahkan program KTMB dan Atlet Lejen Jumpe Ore Tumpat yang berlangsung di Padang KTM, di sini.

Menurut pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, kehadiran 33 bekas atlet dari sukan bola sepak, bola jaring dan olahraga itu adalah untuk memperkenalkan barisan bintang sukan yang mengharumkan negara suatu ketika dulu kepada generasi muda.

“Program ini ditaja sepenuhnya oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan jika sebelum ini kerjasama kami hanya di sekitar Lembah Klang tapi kali ini kami keluar dan menuju ke negeri di Pantai Timur.

“Kami memilih Tumpat adalah kerana ini adalah stesen terakhir tren berhenti di Kelantan dan walaupun memakan masa yang lama untuk tiba di sini, semua bekas atlet memanfaatkan masa sepenuhnya dengan menjadikan ia seakan reunion,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Program yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zain Mat Taha itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Noorul Ariffin berkata, selain tiga nama besar itu, ada lagi beberapa nama besar lain dalam kalangan bekas atlet yang menyertai program berkenaan antaranya Fazdlun Abas dan Rosnani Ismail (bola jaring) dan Reduan Abdullah (bola sepak).

Katanya lagi, kehadiran bekas atlet untuk program seharian di Padang KTM itu adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada pelapis dalam arena sukan khususnya bola sepak, bola jaring serta olahraga.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top