SEBANYAK 34 ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang layak mengundi telah mengemukakan borang pencalonan untuk pemilihan ahli eksekutif badan induk bagi penggal 2025-2029.
MOM ketika mengesahkan perkara itu, berkata, 34 persatuan sukan kebangsaan yang juga ahli biasa badan induk itu telah menyerahkan borang masing-masing sebelum tarikh tutup pada jam 5 petang Rabu.
“Sebanyak 12 jawatan utama dipertandingkan untuk sesi pemilihan kali ini dengan jawatan presiden mempertandingkan satu jawatan.
“Jawatan timbalan presiden (satu jawatan), naib presiden (lima jawatan), setiausaha agung (satu jawatan), penolong setiausaha agung (dua jawatan), bendahari (satu jawatan) dan penolong bendahari (satu jawatan),” kata MOM dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar dan telus, MOM juga menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril yang turut bertindak sebagai pengerusi; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anand Ponnudurai dan Datuk Harjit Singh Sidhu, seorang ejen cukai berlesen di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.
“Jawatankuasa bebas ini akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyaring dan mengemaskinikan semua pencalonan yang diterima.
“Langkah lebih proaktif turut diambil apabila jawatankuasa bebas ini akan menjalankan semakan terperinci dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan MDI (Jabatan Insolvensi Malaysia)..
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan hanya calon yang benar-benar layak dan berintegriti sahaja disenaraikan untuk bertanding.
“Senarai rasmi calon yang layak untuk pemilihan MOM 2025-2029 akan diumumkan pada 11 April,” kata kenyataan tersebut.
INFO
Pemilihan MOM 2025-2029:
1. Presiden (1 jawatan)
2. Timbalan Presiden (1 jawatan)
3. Naib Presiden (5 jawatan)
4. Setiausaha Agung (1 jawatan)
5. Penolong Setiausaha Agung (2 jawatan)
6. Bendahari (1 jawatan)
7. Penolong Bendahari (1 jawatan)