Jakarta: Pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini, semalam, berjaya menggagalkan cubaan 34 jemaah Indonesia serta dua koordinator untuk berlepas ke Makkah menggunakan visa kerja, bukan visa haji yang sah.
Jakarta Globe melaporkan, kumpulan itu dipercayai sedang bersedia menaiki penerbangan sambungan ke Arab Saudi walaupun tidak memiliki visa khas haji yang diwajibkan mengikut peraturan kerajaan Saudi.
Visa berkenaan dikawal ketat menerusi kerjasama dua hala antara Indonesia dan Arab Saudi bagi mengelak kesalahan berulang seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lapangan Terbang, Komisioner Yandi Mono, berkata kumpulan terbabit dipercayai cuba menunaikan haji secara haram menggunakan ‘skim visa kerja’.
“Mereka dijadualkan berlepas menaiki penerbangan sambungan,” katanya.
Difahamkan, kumpulan itu sudah menempah penerbangan SriLankan Airlines UL 356 dari Jakarta ke Colombo, sebelum menyambung perjalanan ke Riyadh.
Bagaimanapun, hasrat mereka terbantut selepas pegawai imigresen mengesan dokumen mencurigakan ketika pemeriksaan rutin.
Mereka berasal dari pelbagai daerah termasuk Tegal, Brebes, Lampung, Bengkulu, Palembang, Makassar, Medan dan Jakarta dengan usia antara 35 hingga 72 tahun.
Setiap seorang dilaporkan membayar antara 139 juta rupiah (kira-kira RM35,850) hingga 175 juta rupiah (kira-kira RM45,146) kepada dua penganjur yang dikenal pasti dengan inisial IA dan NF yang menguruskan perjalanan itu.
“IA dan NF langsung tidak memaklumkan kepada jemaah bahawa visa mereka adalah untuk tujuan kerja, bukan untuk haji.
“Mereka memperdaya kumpulan ini dengan menunjukkan kononnya pernah berjaya membawa jemaah dengan cara sama pada 2024,” kata Yandi.
Menurut keterangan suspek, sebaik tiba di Arab Saudi, kumpulan itu akan memohon permit kerja bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama dan tetap dapat menunaikan ibadah haji.
“Kami kini menyiasat IA dan NF atas kesalahan menganjurkan perjalanan haji tanpa kebenaran,” tambah Yandi.
Kedua-dua penganjur itu boleh didakwa mengikut Undang-undang No. 8/2019 mengenai Pengelolaan Haji dan Umrah yang membawa hukuman penjara maksimum enam tahun.
Untuk musim ini, Arab Saudi memberi kuota 221,000 jemaah kepada Indonesia.
© New Straits Times Press (M) Bhd