kartika@mediaprima.com.my
SEBANYAK 34 peratus rakyat Malaysia menyatakan mendapatkan pekerjaan yang tepat lebih sukar daripada mencari pasangan romantik jangka panjang, menurut kajian Jobstreet by Seek.
Ketua Pemasaran Jobstreet by Seek Malaysia, Sammy Chan berkata, seperti mencari pasangan, mendapatkan pekerjaan yang sesuai memerlukan pemahaman bersama.
“Hampir dua pertiga (63 peratus) rakyat Malaysia percaya bahawa mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan keutamaan mereka, semakin sukar berbanding ketika mereka mula memasuki dunia pekerjaan.
“Hanya 18 peratus pekerja melaporkan bahawa pekerjaan semasa mereka benar-benar sesuai dengan kemahiran mereka, menjadikan cabaran ini semakin ketara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketidakserasian ini boleh menjejaskan pertumbuhan kerjaya dan menjadi cabaran untuk syarikat.
“Jika terdapat jurang antara jangkaan pekerja dan tawaran pekerjaan, sukar untuk mencapai keserasian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian terbabit turut mendedahkan kesukaran yang semakin meningkat dalam pasaran kerja hari ini.
Katanya, ia apabila pekerja bergelut mencari peranan sepadan dengan kemahiran, pengalaman dan aspirasi kerjaya mereka.
Sementara itu, Jobstreet by Seek terus menyokong usaha memadankan bakat dengan peluang pekerjaan yang sesuai di Malaysia.
Ia berkata, dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang canggih, platform ini menganalisis data bagi memberikan padanan pekerjaan yang lebih peribadi dan tepat.
Selain teknologi katanya, Jobstreet juga membabitkan komuniti bakat melalui inisiatif di lapangan, termasuk lebih daripada 50 program di universiti membabitkan lebih 24,000 pelajar pada 2024.
“Dengan modul inovatif seperti Ultimate AI Guide to Jobseeking dan ELS English Certification, Jobstreet lebih daripada sekadar portal kerja dan ia adalah rakan kongsi dalam perjalanan Malaysia menuju masa depan makmur dan inklusif,” menurut platform itu lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd