3,517 KIR mangsa banjir di Kedah dijamin terima bantuan RM1,000 – Sanusi

3,517 KIR mangsa banjir di Kedah dijamin terima bantuan RM1,000 – Sanusi



am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kerajaan negeri memberi jaminan 3,517 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan mendapat bantuan RM1,000 seperti dijanjikan.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana terdapat mangsa banjir enggan pulang ke rumah kerana bimbang tidak mendapat bantuan berkenaan.

Katanya, sehingga kini sebahagian bantuan itu sudah diserahkan kepada KIR di PPS oleh pegawai daerah manakala selebihnya akan diserahkan menerusi kaedah yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3.5 juta untuk bantuan itu, kalau PPS dah tutup pegawai daerah akan pergi cari di rumah sebab semua data dan maklumat tentang penghuni PPS ada di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah masing masing.

“Tuan-tuan jangan sampai tak balik pula, ada orang tak mahu balik pasal dia kata tak dapat duit ini jadi nak duduk situ (PPS), JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) pun tak sedia makanan, kawalan kena dibuat bila keputusan PPS itu ditutup. Baliklah ke rumah, kita akan pergi ke rumah untuk serahkan bantuan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan turut diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) seperti yang dilakukan sebelum ini.

Mengulas mengenai bencana ribut, beliau berkata sebanyak 700 rumah di negeri ini rosak yang mana daerah Baling mencatatkan jumlah yang tertinggi diikuti Sik.

Katanya, menerusi mesyuarat diadakan, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bersetuju untuk memperbaiki rumah yang terjejas di bawah nilai RM15,000.

“Bagi mangsa banjir yang terjejas namun tidak berpindah ke PPS atau rumah yang rosak akibat ribut, mereka masih boleh memohon bantuan untuk memperbaiki kediaman, namun perlu membuat laporan polis dan menyertakan bukti masing-masing terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata keseluruhan kawasan pertanian yang terjejas akibat banjir di Kedah adalah 2,986 hektar membabitkan 999 petani.

“Anggaran kerugian keseluruhan kawasan pertanian termasuk padi lebih RM10 juta. Anggaran kerugian kerosakan padi sahaja adalah RM8.2 juta… (selebihnya) agro makanan lain seperti cili dan cendawan, infrastruktur ladang dan jalan-jalan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top