mhafis@mediaprima.com
Kuala Lumpur: Seramai 388 mangsa membabitkan pelbagai negara mendesak Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengambil tindakan mengikut peruntukan jenayah terhadap sebuah syarikat broker yang disyaki menawarkan skim pelaburan mata wang asing (Forex) tidak sah sehingga kerugian mencecah RM104 juta.
Mangsa ingin dikenali sebagai Tan, 33, mendakwa, dia melabur dalam syarikat terbabit selepas diajak rakannya pada 2016.
Menurutnya, dia turut mempersoalkan bagaimana syarikat itu mudah mendapatkan lesen untuk memperdaya pelabur sehingga mengalami kerugian jutaan ringgit.
“Sepanjang tempoh saya melabur, saya ada menerima sedikit pulangan dan turut menarik pelabur lain untuk turut serta dalam skim itu.
“Bagaimanapun, syarikat itu gagal memberikan pulangan sejak 2023 dan memberikan alasan kerana berpunca daripada masalah perbankan.
“Pelabur-pelabur saya secara keseluruhan rugi sehingga RM40 juta manakala saya sendiri kerugian RM2 juta,” katanya pada sidang media di perkarangan Pejabat Labuan FSA di KL Sentral di sini, hari ini.
Seorang lagi pelabur, Datuk Danny Goh, 57, berkata, dia yang kerugian sehingga RM10 juta sejak terjebak dalam pelaburan itu pada 2018 berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap syarikat terbabit.
“Perkara sudah berlaku, apa yang saya harap tindakan tegas diambil terhadap ‘scammer’ agar ia tidak berulang.
“Apa yang penting saya berharap semua masyarakat sedar tentang perkara (penipuan) ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa pelbagai negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei yang mendakwa mengalami kerugian akibat tidak mendapat pulangan wang dilaburkan sejak 2022.
Menurutnya, skim itu mengaburi mangsa dengan berdaftar dengan sebuah syarikat di bawah Labuan FSA serta mendapatkan lesen sebagai broker bagi menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.
“Perdagangan Forex di negara ini tidak dibenarkan membuat tawaran kepada orang awam kerana ia hanya boleh dijalankan oleh syarikat yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Syarikat ini menggunakan lesen broker bagi meyakinkan pelabur bahawa pelaburan tidak sah yang ditawarkan dikawal selia oleh Labuan FSA,” katanya.
Hishamuddin berkata, walaupun Labuan FSA membubarkan syarikat terbabit namun pihaknya mendesak tindakan diambil mengikut peruntukan jenayah termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Oktober lalu, media melaporkan seramai 70 individu mendakwa menjadi mangsa pelaburan Forex dengan sebuah syarikat dipercayai berpangkalan di Labuan membabitkan kerugian kira-kira RM40 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd