Bangkok: Seramai 39 warga asing melarikan diri dari pusat penipuan dalam talian di Myanmar, dengan merentasi sempadan ke Thailand, kata polis kepada AFP pada Isnin.
Kegiatan sindiket penipuan berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar dan dikendalikan oleh warga asing yang sering diperdagangkan dan dipaksa bekerja untuk menipu rakan senegara.
Menurut Ketua Polis Bandar Mae Sot, kumpulan itu membabitkan warga Sri Lanka, Nepal, Malaysia dan Rusia yang menyeberang ke wilayah Tak di Thailand.
Mereka melarikan diri dari Myawaddy di seberang sempadan, kata Kolonel Pittayakorn Petcharat kepada AFP.
Myawaddy dikawal oleh militan yang bersekutu dengan tentera dan lokasi itu menjadi sarang pengeluaran dadah dan penipuan dalam talian, menurut pemerhati.
Kedutaan Sri Lanka di Bangkok meminta bantuan pihak berkuasa Thailand selepas dimaklumkan bahawa 32 rakyatnya terperangkap di Myanmar, kata Petcharat.
Lima warga Nepal, seorang warga Malaysia dan seorang warga Rusia turut berada dalam kumpulan yang melarikan diri itu dan tiba di Thailand itu.
AFP menghubungi kedutaan empat negara untuk mendapatkan komen.
Kumpulan itu menyeberang ke Thailand pada malam Ahad, kata seorang anggota pasukan keselamatan di Mae Sot, yang enggan dikenali ketika bercakap dengan media.
© New Straits Times Press (M) Bhd