suliati@hmetro.com.my
Seramai 61 pelajar tahun dua program Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai aktiviti ‘On-Site Learning’ di Sandakan, Sabah baru-baru ini.
Menerusi program itu peserta dibawa melawat ke tapak Projek Pembinaan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya dan Kompleks Latihan Untuk Orang Kurang Upaya.
Pensyarah FKJ, Dr Asmawan Mohd Sarman berkata, program lawatan itu bertujuan memperkenalkan dan memahami secara langsung konsep 3D dalam industri pembinaan iaitu Sukar (Difficult), Bahaya (Dangerous) dan Kotor (Dirty).
“Dengan pengalaman ini, mereka dapat melihat sendiri realiti sebenar kerja di tapak pembinaan selain lebih bersedia menghadapi cabaran dalam kerjaya kelak,” katanya.
Pengarah Program, Atalarick Firman Syach Suhaini berkata, program itu memberikan nilai tambah kepada pelajar melalui interaksi dengan jurutera profesional di tapak pembinaan.
Katanya, program itu juga cukup bermakna kerana mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bandaraya Sandakan, Babankong Sdn Bhd dan Rigi Development Sdn Bhd.
“Menerusi pembabitan JKR dan syarikat pembinaan sendiri, peserta berpeluang bertanya, mendapatkan penerangan dan menimba pengalaman daripada jurutera yang terbabit dalam projek pembinaan.
“Kehadiran alumni FJK UMS yang kini bekerja sebagai Jurutera JKR Bandaraya Sandakan, Nur Elfira Afifa Mansor dan Azamawi menjadikan program ini lebih bermakna.
“Kedua-duanya berkesempatan menyampaikan perkongsian pengalaman dan memberi nasihat kepada pelajar mengenai persiapan kerjaya dalam industri pembinaan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta program Nurardina Syazliyana Rahim berkata, program pendedahan praktikal itu membolehkan pelajar kejuruteraan UMS mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar.
Dia yang juga pelajar tahun dua Kejuruteraan Awam berkata, program itu juga dapat meningkatkan kemahiran teknikal seperti penggunaan teknologi terkini dan perisian industri.
“Dengan menyertai program ini, kami juga dapat membina kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah melalui interaksi dengan profesional industri.
“Selain itu, program ini membuka peluang rangkaian, meningkatkan keyakinan diri dan mempersiapkan pelajar untuk cabaran dunia pembinaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd