3R: Tiga ditahan berhubung kandungan berunsur hasutan dan hinaan

3R: Tiga ditahan berhubung kandungan berunsur hasutan dan hinaan


am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tiga individu termasuk dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kandungan video di aplikasi TikTok yang didakwa mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, kepimpinan negara dan institusi diraja.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki tempatan, kelmarin yang mengesan video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok ‘ratunurputribalqis’.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang juga warga tempatan di Taman Saujana, hari ini.

“Hasil semakan mendapati semua suspek berusia lingkungan 17 hingga 49 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ab Rahaman berkata, polis juga merampas beberapa barangan untuk membantu siasatan, manakala ketiga-tiga suspek kini direman empat hari hingga Jumaat.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian; Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebut perkataan-perkataan dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Pada masa sama, Ab Rahaman memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya tidak menyentuh atau membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di 07-2212999,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top