40 bakat muda menyertai Kem Final Klinik STL 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia.
SERAMAI 40 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun dikumpulkan di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Kampung Baru bagi menyertai Kem Final Klinik STL 2025 yang berlangsung dari Selasa lalu hingga Sabtu.
Program anjuran Astro dengan kerjasama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu menjadi kemuncak kepada siri Klinik STL 2025, selepas enam siri jelajah pembangunan akar umbi dijalankan di seluruh negara sepanjang musim Liga Sepak Takraw (STL) tahun ini.
Kem lima hari itu menghimpunkan peserta terbaik hasil pemilihan rapi daripada siri klinik di Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang untuk menjalani latihan intensif bersama jurulatih berpengalaman yang juga bekas perejam skuad kebangsaan, Futra Abdul Ghani.
“Ini merupakan 40 pemain terbaik yang kami dapat sewaktu pemilihan bersama jurulatih kebangsaan.
“Kami melihat mereka bukan sahaja dari segi kemahiran, tetapi juga disiplin dan penguasaan gelanggang.
“Musim ini saya amat gembira, malah terharu dengan komitmen ibu bapa dan murid yang hadir,” kata Futra.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John pula menyifatkan Kem Final ini bukan sekadar penutup kepada siri Klinik STL, sebaliknya platform pembangunan elit yang berfungsi sebagai jambatan untuk melahirkan bintang masa depan sepak takraw negara.
Selain sesi teknikal, peserta turut mengikuti modul pembangunan pemain muda secara menyeluruh termasuk aspek disiplin, motivasi dan gaya hidup atlet berprestasi tinggi.
“Kami mahu mereka memahami nilai disiplin, semangat juang dan struktur latihan sebenar yang diamalkan di peringkat kebangsaan. Ini penting untuk membina karakter serta daya tahan mental sejak usia muda,” jelas Nicholas.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat aksi peserta kem.
Penganjuran kali ini turut menerima sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melihat inisiatif ini sebagai langkah memperkukuh pembangunan akar umbi dan memastikan kesinambungan sukan tradisional negara.
Dalam pada itu, PSM menjelaskan bahawa kolaborasi strategik bersama Astro dilihat sebagai sebahagian daripada pelan menyusun semula ekosistem pembangunan sepak takraw negara, termasuk memperkukuh laluan dari peringkat sekolah hingga ke pasukan kebangsaan.
Ringkasan AI
- Seramai 40 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun menghadiri Kem Final Klinik STL 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Kampung Baru
- Program tersebut adalah hasil kerjasama antara Astro dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)
- Peserta kem merupakan pemain terbaik yang dipilih dari enam siri klinik di seluruh negara
- Kem lima hari ini menawarkan latihan intensif dengan jurulatih berpengalaman, Futra Abdul Ghani
- Inisiatif ini dilihat sebagai platform pembangunan talenta sepak takraw negara dan menerima sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan Malaysia