Sesi pemilihan peserta ke Kem Final Klinik STL 2025.
SERAMAI 40 bakat muda berusia 13 hingga 17 tahun terpilih menyertai Kem Final Klinik STL 2025 yang akan berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia dari 7 hingga 11 Oktober ini.
Mereka merupakan peserta terbaik daripada enam siri klinik yang dianjurkan sepanjang musim ini di sekolah terpilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Betau (Pahang) dan Sekolah Kebangsaan Seberang Takir (Terengganu), selain di empat gelanggang rasmi STL – Stadium Titiwangsa (Kuala Lumpur), Arena Larkin (Johor), Stadium Indera Mulia (Perak) dan Kompleks Balik Pulau (Pulau Pinang).
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, kemuncak klinik kali ini dianjurkan bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai platform elit untuk menghimpunkan bakat terbaik dari seluruh negara.
“Fokus kami ialah membina laluan pembangunan yang tersusun, memberi pendedahan intensif di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan serta membentuk disiplin dan semangat juang.
“Klinik STL juga mencerminkan komitmen Astro terhadap pembangunan komuniti melalui pelaburan bakat muda tempatan,” katanya.

Klinik STL GP Pulau Pinang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas sokongan dalam menjayakan program pencarian bakat ini yang sejajar dengan visi negara melahirkan generasi cergas dan berdaya saing.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Klinik STL, Mohd Futra Abdul Ghani menyifatkan sambutan kali ini luar biasa dengan ramai pelajar sanggup hadir ke semua lokasi klinik bagi merebut peluang ke kem pemilihan.
“Walaupun tidak semua terpilih, mereka tetap pulang dengan pengalaman berharga, motivasi serta ilmu di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan.
“Sokongan ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan turut menjadi asas penting dalam melahirkan pelapis berkualiti,” ujarnya.