45 penduduk Gaza terbunuh dalam siri serangan semalam

45 penduduk Gaza terbunuh dalam siri serangan semalam


Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya 45 penduduk Gaza terbunuh dalam siri serangan udara Israel di seluruh wilayah berkenaan, semalam.

Agensi pertahanan awam Gaza dan hospital di wilayah itu memaklumkan, angka berkenaan meningkat daripada laporan awal terdahulu yang mencatatkan 33 kematian.

Jurucakap agensi berkenaan, Mahmud Bassal berkata, serangan itu menyasarkan pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza.

Beliau mendakwa antara mangsa termasuk wanita, kanak-kanak dan orang awam yang berlindung di khemah pelarian.

Susulan itu, Hospital Al-Awda di Nuseirat juga melaporkan 24 kematian dan 73 mangsa cedera, manakala Hospital Al-Aqsa menerima 12 mayat daripada pengeboman berdekatan.

Hospital Nasser di Khan Yunis turut merekodkan lima kematian, sementara Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza mengesahkan empat lagi maut.

Dalam pada itu, Mahmud berkata, enam orang terbunuh apabila serangan Israel mengenai sekumpulan orang awam di bandar Zuwaida di tengah Gaza.

Seorang wanita dan dua kanak-kanak turut maut selepas serangan dron menghentam khemah pelarian berhampiran Bandar Asdaa, utara Khan Yunis.

Dua individu termasuk seorang wartawan juga disahkan terbunuh dalam serangan di bahagian barat Zuwaida.

Sementara itu, dua lagi maut apabila khemah di kawasan Kelab Al-Ahli, Nuseirat, turut menjadi sasaran.

Tentera Israel dalam kenyataannya berkata, mereka sudah menyerang puluhan sasaran Hamas di seluruh Gaza.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata yang sudah berkuat kuasa selama sembilan hari.

Tentera Israel kemudian memaklumkan ia menyambung semula penguatkuasaan gencatan senjata di wilayah berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top