47 sindiket bawa masuk pekerja asing secara haram tumpas

47 sindiket bawa masuk pekerja asing secara haram tumpas


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui kerjasama agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan 47 sindiket membawa masuk pekerja asing secara haram ke Malaysia, setakat Oktober tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan penangkapan 1,285 ahli sindiket dan pendatang tanpa izin.

Beliau berkata JIM turut mengetatkan pemeriksaan di kaunter pintu masuk, bagi memastikan yang layak sahaja dapat masuk ke Malaysia.

“Bagi yang tidak layak, kita mengenakan notis Not To Land (NTL) atau notis penolakan masuk dan sehingga September, 25,214 warga asing dikenakan notis NTL,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah tegas kerajaan dalam menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi mengatur kaunteryang turut didalangi penguat kuasa agensi yang bertugas di pintu masuk udara negara.

Saifuddin Nasution berkata, antara langkah yang dilaksanakan JIM bagi membanteras sindiket terbabit ialah memperkasakan pemantauan seliaan ke atas pegawai yang bertugas di kaunter, membuat pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan serta lawatan mengejut ke kaunter imigresen.

Selain itu pegawai yang bertugas di kaunter tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi dan pemeriksaan badan dilakukan sebelum dan selepas bertugas.

Beliau berkata JIM juga mewujudkan pasukan khas yang membuat rondaan sebelum pengembara ke kaunter imigresen.

“Jika pasukan ini mengesan mereka berlama-lama, lima jam, enam jam, tujuh jam, lapan jam masih tak pergi kaunter, bermaksud mereka sedang tunggu isyarat daripada sindiket nak maklumkan kaunter mana mereka patut pergi,” katanya.

Menerusi hasil rondaan, beliau berkata, 6,694 pengembara disekat memasuki Malaysia setakat September lalu, antaranya disebabkan tiada alamat tempat tinggal di Malaysia dan tidak cukup wang.

Pada masa ini Saifuddin Nasution berkata, JIM di peringkat akhir memuktamadkan proses perolehan sistem saringan awal penumpang yang melakukan perjalanan ke negara ini, serta menaik taraf CCTV yang dilengkapi audio dan visual di kaunter pemeriksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top