47 sindiket ‘counter setting’ tumpas sehingga Oktober ini – Saifuddin

47 sindiket ‘counter setting’ tumpas sehingga Oktober ini – Saifuddin


KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensi penguatkuasaan berjaya menumpaskan sebanyak 47 sindiket kegiatan counter setting membabitkan 1,285 tangkap ahli dan pendatang asing tanpa izin setakat Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, manakala seramai 25,214 warga asing pula dihalang memasuki negara ini dengan diberikan Notis Tolak Kemasukan (NTL) setakat September lalu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan SPRM sentiasa meningkatkan usaha membanteras sindiket membawa warga asing secara haram dengan kerjasama strategik sesama mereka.

“Kita mengetatkan kaunter-kaunter di pintu masuk negara, meningkatkan rondaan, pantau melalui CCTV di bilik kawalan, penyelia buat lawatan mengejut ke kaunter-kaunter ini.

“Pegawai-pegawai yang bertugas di kaunter ini juga tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi, sebelum dan selepas bertugas, kita buat body search ke atas mereka,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Saifuddin lagi, agensi penguat kuasa juga turut menyekat seramai 6,694 daripada memasuki negara ini kerana tiada alamat di Malaysia dan wang tidak mencukupi setakat September lalu.

“Jika pasukan rondaan mengesan mereka ini berlama-lama sehingga lima hingga lapan jam masih tidak pergi ke kaunter, bermaksud sedang menunggu isyarat daripada sindiket, nak maklum mereka kaunter mana mereka patut pergi,” katanya.

Selain itu, katanya, KDN dalam proses untuk memuktamadkan perolehan bagi Sistem Saringan Awal Penumpang di mana ia membolehkan JIM membuat saringan awal bagi pengembara yang melakukan perjalanan ke negara ini.

“Belum pun mereka sampai, kita sudah ada akses terhadap senarai pengembara, membolehkan kita membuat pemeriksaan awal.

“Kita juga dalam perolehan akhir untuk menaik taraf CCTV dengan dilengkapi dengan audio dan visual,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top