474 acara Sukma menanti di Selangor 2026

474 acara Sukma menanti di Selangor 2026


PENGANJUR Sukan Malaysia (Sukma) ke-22, melalui Sekretariat SUKMA XXII Selangor 2026, mengumumkan sebanyak 474 acara sukan daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada temasya itu yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma XXII & Para Sukma Selangor 2026, Mohd Najwan Halim, berkata jumlah tersebut mencatat peningkatan lima acara berbanding 469 acara sukan pada Sukma Sarawak 2024.

“Daripada jumlah itu, 239 acara melibatkan atlet lelaki, 217 acara untuk atlet wanita, manakala 18 acara lagi adalah kategori campuran,” katanya pada sidang media di Shah Alam, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, pendaftaran penyertaan setiap sukan bagi wakil negeri dan kontinjen akan dibuka pada awal November ini dan berlangsung selama dua minggu.

Sukma Selangor 2026 akan menggunakan 53 venue di sembilan daerah termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta, 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan sebagai gelanggang pertandingan.

Dalam perkembangan lain, Sekretariat Sukma Selangor 2026 akan bekerjasama dengan Konvensyen Belia Selangor yang dijadual pada 30 September di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam untuk membuka pra-pendaftaran sukarelawan.

“Pada konvensyen itu juga, kita akan melancarkan kempen penamaan Maskot Sukma XXII & Para Sukma Selangor 2026 secara rasmi,” tambah Mohd Najwan, yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor.

INFO

SUKMA SELANGOR 2026

Sukma Selangor 2026 mempertandingkan 30 sukan teras dan tujuh sukan tambahan iaitu sukan teras:- Olahraga, Hoki, Memanah, Wushu, Bola keranjang, Judo, Angkat berat, Akuatik, Bola sepak, Menembak, Karate-do, Taekwondo, Lawan pedang, Tenis, Gimnastik/Gimrama, Ten pin Bowling, Skuasy, Pencak Silat, Ping Pong, Sepak Takraw, Golf, Berbasikal, Boling Padang, Badminton, Pelayaran, Ragbi, Bola Tampar, Bola Jaring, Tinju dan Sofbol. Sukan tambahan terdiri daripada E-Sukan, Kriket, Kabbadi, Silambam, Catur, Muay Thai dan Petanque.

Upacara perasmian Sukma Selangor 2026 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 15 Ogos 2026, manakala Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi venue untuk upacara penutup pada 24 Ogos 2026.

Para Sukna Selangor pula akan berlangsung dari 5 September hingga 14 September 2026 melibatkan 10 sukan teras.

 

 

Ringkasan AI

  • Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 akan diadakan dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan 474 acara sukan
  • Jumlah acara meningkat lima berbanding Sukma Sarawak 2024
  • Pendaftaran penyertaan dibuka pada awal November untuk tempoh dua minggu
  • Sukma Selangor 2026 akan menggunakan 53 venue di sembilan daerah
  • Konvensyen Belia Selangor akan membuka pra-pendaftaran sukarelawan dan melancarkan kempen penamaan Maskot Sukma



Source link

OR

Scroll to Top