48 bekas pemain, jurulatih Perak FC desak selesai tunggakan gaji dan pampasan

48 bekas pemain, jurulatih Perak FC desak selesai tunggakan gaji dan pampasan


Bekas pemain Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor (tengah) ketika bertemu pengamal media di perkarangan Stadium Perak, pada Isnin. Foto Bernama

SEBANYAK 48 bekas pemain, jurulatih dan kakitangan Perak FC terus mendesak pihak pengurusan kelab menyelesaikan tunggakan gaji serta pampasan bernilai lebih RM2 juta yang didakwa masih gagal dilunaskan sejak September tahun lepas.

Bekas tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor berkata, mereka kecewa kerana tiada perkembangan positif diterima daripada pihak pengurusan berhubung perkara berkenaan.

“Hari ini kami bertemu wakil (peguam) mereka (pengurusan) di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak dan hasil perbincangan, beliau memaklumkan perlu meneliti kontrak kami sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Peguam itu turut memohon penangguhan dengan mengaturkan perbincangan lanjut pada 27 Okt di JTK Perak. Kami harap segala urusan dapat dipercepatkan dan selesai secara baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Perak, di sini pada Isnin.

Bekas penolong jurulatih, Shahrulnizam Mustapha berkata, tawaran pembayaran dikemukakan pengurusan tidak sepadan dengan pengorbanan dan tenaga dicurahkan pemain sepanjang berada dalam pasukan.

“Sebagai jurulatih, kami sudah berikan komitmen penuh sehingga pasukan layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh musim lepas. Namun sehingga kini, kami belum menerima hak kami.

“Kami sudah terlalu lama menunggu. Hal ini melibatkan periuk nasi ramai keluarga. Kami harap Perak FC dapat tampil dengan penyelesaian konkrit pada pertemuan akan datang,” katanya.

Shahrulnizam berkata, mereka menunggu maklum balas daripada perbincangan bersama wakil Perak FC sebelum memutuskan tindakan lanjut mengenai isu tersebut.

Pada 27 April, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan skuad berkenaan terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 berikutan kekangan kewangan yang meruncing.

Azim turut memaklumkan pihak pengurusan hanya mampu membayar 20 peratus daripada keseluruhan tunggakan gaji kepada pemain dan jurulatih, namun tawaran itu ditolak oleh mereka. – Bernama

Ringkasan AI

  • SEBANYAK 48 bekas pemain, jurulatih dan kakitangan Perak FC mendesak pengurusan kelab menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan lebih RM2 juta
  • Tiada perkembangan positif dari pengurusan kelab mengenai penyelesaian tunggakan sejak September tahun lepas
  • Peguam pengurusan kelab meminta penangguhan dan merancang perbincangan lanjut pada 27 Okt di Jabatan Tenaga Kerja Perak
  • Tawaran pembayaran oleh pengurusan dianggap tidak sepadan dengan pengorbanan dan tenaga pemain serta jurulatih
  • Pengerusi Perak FC mengesahkan kelab menarik diri dari Liga Malaysia musim 2025/2026 akibat kekangan kewangan, hanya mampu bayar 20% tunggakan gaji



Source link

OR

Scroll to Top