am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Lima beradik yang hidup dalam keadaan serba kekurangan di kediaman nenek mereka selepas ditinggalkan ibu kandung menerima perhatian kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menziarahi keluarga di Taman Selesa Jaya di Skudai di sini hari ini.
Beliau berkata, lawatan berkenaan bertujuan memeriahkan sambutan Deepavali kanak-kanak itu yang di bawah jagaan nenek kandung.
“Saya berpendapat penjaga kanak-kanak boleh bekerja untuk meneruskan kehidupan.
“Bantuan kanak-kanak JKM ditambah dari RM 500 ke RM 700 mulai November ini.
“Saya dan JKM memberi sumbangan bakul makanan asas sebagai persiapan menyambut pesta cahaya,” katanya.
Khairin Nisa berkata, kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia tujuh tahun yang mengalami kecederaan akibat tersimbah minyak panas akan dibantu.
“Kanak-kanak itu akan dibantu untuk mendapatkan rawatan pembedahan plastik di bahagian betis, peha dan jari kaki.
“Manakala Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar atau OKU terlantar sebanyak RM500 sebulan akan diluluskan selepas mendapat pengesahan penyakit kronik yang dialami oleh seorang lagi cucu lelakinya yang mengidapi penyakit buah pinggang.
“Kanak-kanak lelaki itu kini berusia tiga tahun,” katanya ketika mengunjungi keluarga berkenaan di sini, hari ini.
Sementara itu, nenek kandung kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Kath, 44, berkata keluarganya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan negeri bagi mengubah nasib cucunya.
“Masa depan cucu menjadi kebimbangan saya terutama cucu perempuan OKU selain cucu lelaki yang mengalami masalah buah pinggang.
“Buat masa ini dia mendapatkan rawatan di bahagian pesakit luar Hospital Sultanah Aminah (HSA) selain mendapatkan perubatan tradisional.
“Saya berharap kedua-dua cucu saya sembuh fan dapat menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.
Kath berkata, dia juga bersyukur dengan bantuan dan sumbangan diterima sempena Deepavali.
“Deepavali kali ini adalah yang paling bermakna bagi kami,” katanya.
Semalam, akhbar ini mendedahkan perbuatan tidak bertanggungjawab seorang wanita berusia 30-an sanggup meninggalkan lima anak berusia tiga hingga 10 tahun kepada ibunya untuk berkahwin baharu.
Salah seorang daripada kanak-kanak itu adalah OKU fizikal.
Tambahan pula ibu bapa wanita itu adalah golongan berpendapatan rendah yang juga bekas pengawal keselamatan dan penjual tisu, manakala bapa kandung kanak-kanak berkenaan juga difahamkan tidak bekerja dan tidak menyalurkan sebarang bantuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd