am@hmetro.com.my
Kluang: Nasib lima beranak yang ‘tidur dalam sampah’ terbela selepas mendapat perhatian kumpulan komuniti ‘Kluang Bahagia’ yang membantu mendapatkan rumah sewa baru untuk mereka.
Seorang daripada penggerak utama kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Su berkata, pihaknya turut membersihkan, menghias dan mengisi rumah sewa baru itu dengan barangan keperluan untuk keluarga berkenaan.
“Kami memiliki 768 ahli dan berjaya mengumpul sumbangan tunai berjumlah RM1,400 untuk keluarga ini. Selebihnya membabitkan penyumbang perseorangan yang membeli barangan diperlukan untuk mereka,” katanya ditemui, semalam.
Katanya, pihaknya akan membantu keluarga itu untuk proses permohonan bantuan daripada pihak berkuasa termasuk bantuan sara hidup dan kaunseling.
“Hari ini, kami bawa keluarga ini berbelanja barangan dapur. Terima kasih kepada semua ahli yang bersatu hati membantu keluarga daif ini,” katanya.
Dalam pada itu, kegembiraan terpancar di wajah keluarga berkenaan kerana dapat beraya di rumah baru.
Ketua keluarga berkenaan yang juga wanita berusia 37 tahun berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka sekeluarga.
“Terima kasih kepada semua, termasuk Kak Su dan rakannya yang bertungkus-lumus membantu kami, termasuk mendapatkan rumah sewa baru yang selesa.
“Saya juga mohon kemaafan, kami tidak minta jadi begini dan susahkan ramai orang,” katanya.
Sementara itu, anak bongsu wanita berkenaan yang berusia tujuh tahun pula, dia gembira kerana dapat tinggal di rumah baru yang diibaratkan seperti rumah orang kaya.
“Saya suka rumah ini sebab mewah, macam rumah orang kaya. Seronok dan boleh solat,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, tekanan hidup dipercayai punca wanita berusia 37 tahun tinggal dengan timbunan sampah.
Ia berikutan suaminya dipenjarakan sejak tujuh tahun lalu manakala abang kandung bersama anak lelakinya pula terjebak dengan dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd