am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biro siasatan Kemalangan Udara (BSKU) memberikan lima cadangan keselamatan dalam Laporan Akhir Nahas Kemalangan Udara Elmina susulan siasatan terhadap nahas pesawat yang meragut 10 nyawa, 17 Ogos tahun lalu.
Cadangan itu diberikan berdasarkan dapatan dan faktor penyumbang yang dikenal pasti dalam siasatan nahas berkenaan.
Jet Valet Sdn Bhd iaitu syarikat yang mengendalikan pesawat terbabit ketika insiden itu diberikan cadangan dalam mengkaji dan mengukuhkan latihan kru serta pematuhan keperluan kawal selia, meningkatkan pemantauan organisasi, meningkatkan prosedur operasi dan menyemak semula rangka kerja kawal selia.
Menurut laporan berkenaan, Jet Valet Sdn Bhd perlu meningkatkan program latihan untuk semua anak kapal, menekankan prosedur senarai semak yang betul, pengurusan sumber kru dan mematuhi protokol ditetapkan.
Katanya, perhatian khusus harus diberikan kepada ketidakbiasaan sistem dan operasi kritikal sistem seperti ‘lift dump system’.
“Jet Valet Sdn Bhd mesti memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan penerbangan awam, termasuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk perkhidmatan udara tidak berjadual dan mematuhi protokol tempat duduk yang digariskan dalam pesawat manual.
“Audit dan pengawasan yang kerap perlu dijalankan untuk mengenal pasti dan membetulkan sebarang jurang pematuhan peraturan,” kata laporan berkenaan.
Laporan itu turut mencadangkan, Koperasi Amanah Pelaburan Berhad dan Jet Valet Sdn Bhd melaksanakan sistem pengurusan keselamatan yang teguh, menggalakkan budaya ketelusan, akauntabiliti dan penambahbaikan berterusan.
Katanya, ia termasuk mewujudkan garis tanggungjawab yang jelas, menambah baik saluran komunikasi dan menjalankan audit serta penilaian keselamatan secara berkala.
Menurutnya, Jet Valet Sdn Bhd perlu menyemak dan mengemas kini prosedur operasi untuk memasukkan amaran dan taklimat yang jelas mengenai sistem kritikal seperti ‘lift dump system‘ untuk memastikan semua anak kapal mengetahui sepenuhnya risiko dan prosedur berkaitan untuk operasi yang selamat.
Laporan itu menyebut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia harus menyemak rangka kerja kawal selia semasa untuk menyediakan tahap sesuai bagi pengawasan operasi pesawat asing di Malaysia oleh anak kapal asing berlesen untuk memastikan operasi selamat.
Katanya, semakan itu harus merangkumi penilaian keperluan pelesenan, piawaian latihan dan protokol operasi untuk memastikan pematuhan dengan antarabangsa piawaian keselamatan penerbangan dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan operasi pesawat asing.
Dalam kejadian itu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan 10 nyawa iaitu lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan) serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing).
© New Straits Times Press (M) Bhd